Back To All

Oct 29, 2025 3PM

Lembaga Zakat Selangor perluas kempen Anda Hero Asnaf dengan Bomba Selangor

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperluas kempen Anda Hero Asnaf kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPMNS) sebagai usaha meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan anggota pasukan keselamatan serta menggalakkan pembayaran zakat secara konsisten melalui potongan gaji bulanan.

 

Majlis yang berlangsung di Dewan Bakawali, JBPMNS Shah Alam itu menghimpunkan lebih 250 anggota bomba dari seluruh negeri Selangor dan disempurnakan oleh Pengarah JBPMNS, Wan Md Razali Wan Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari.

 

Menurut Mohd Khaidzir dalam ucapannya, inisiatif itu adalah kesinambungan kejayaan program bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dianjurkan baru-baru ini dan kini diperluas kepada pasukan bomba sebagai simbol kesinambungan semangat wira dalam melindungi masyarakat melalui kebajikan zakat.

 

“Sebagaimana bomba menjadi benteng keselamatan masyarakat, zakat pula adalah benteng kebajikan ummah. Gabungan dua kekuatan ini melahirkan wira yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa di dunia, tetapi juga kehidupan di sisi Allah,” katanya.


Menunaikan zakat adalah sebahagian tanggungjawab seorang Muslim bagi mengurangkan jurang kemiskinan dan menjaga kebajikan yang memerlukan. 


Pada tahun 2024, LZS merekodkan kutipan zakat melalui potongan gaji anggota JBPMNS sebanyak RM54,029.33 dengan penyertaan seramai 176 anggota aktif. 

 

Melalui pelaksanaan kempen ini, LZS menyasarkan peningkatan kutipan kepada RM100,000 pada tahun 2026 dengan potensi Wakalah Majikan sekitar RM12,500 bagi tujuan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kerohanian warga bomba.

 

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Wakalah Majikan kepada JBPMNS bernilai RM6,753.66 yang akan dimanfaatkan bagi program kebajikan dan kesejahteraan anggota jabatan berkenaan. 

 

Mohd Khaidzir berkata, jumlah itu membuktikan zakat bukan sekadar tanggungjawab kewangan tetapi kekuatan sosial yang menyatukan masyarakat.


(tiga dari kiri) Pengarah JBPMNS, Wan Md Razali Wan Ismail bersama (empat dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari ketika penyerahan Wakalah Majikan.


Kempen ini turut menawarkan penyertaan melalui dua kategori sumbangan iaitu Wira Prihatin dengan sumbangan serendah RM10 sebulan dan Wira Harapan dengan sumbangan RM50 sebulan. 

 

Peserta yang menyertai skim ini layak menerima manfaat tambahan seperti perlindungan Khairat dan Siddik, keahlian Muzakki Circle, cenderamata eksklusif termasuk rebat cukai individu 100 peratus.

 

Kerjasama strategik antara LZS dan JBPMNS turut membuka ruang bantuan zakat kepada anggota dan pesara bomba memerlukan yang menetap di Selangor melalui proses bancian dan semakan kelayakan yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

 

Kempen “Anda Hero Asnaf” kini menjadi platform utama LZS dalam mengajak warga perkhidmatan awam menunaikan zakat secara sistematik, memperkukuh semangat kebersamaan antara institusi agama dan pasukan keselamatan demi membina kesejahteraan masyarakat.

 

Hadir sama dalam program ini, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Siti Aishah Abu Bakar.


Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

30 Oct 2025

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:38

mosque
imsak

Imsak

05:38:00

fajr

Fajr

05:48:00

syuruk

Syuruk

06:56:00

dhuhr

Dhuhr

13:00:00

asr

Asr

16:19:00

maghrib

Maghrib

18:59:00

isha

Isha

20:09:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase