Thomas Foods Industries, Australia patuhi standard sembelihan halal Malaysia
Thomas Foods Industries, Australia patuhi standard sembelihan halal Malaysia
Published: Apr 25, 2022 3:00 AM
Updated: 3:00 AM

Thomas Foods Industries di Australia mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan yang ditetapkan pihak berkuasa Australia.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata Pegawai Atase Halal JAKIM di Canberra yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries pada 2 Mac lalu mendapati ia mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, isu bermula apabila sebuah akhbar tempatan pada 14 April lalu melaporkan 'Rumah Sembelih di Australia bekal 45 peratus daging ke Malaysia tidak ikut syariat Islam – Status halal meragukan' dengan memetik pendedahan oleh Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS), Faizan Mohd Nor.

Katanya, ia berikutan dakwaan seorang penulis di internet pada 1 April lalu yang mendedahkan ketidakupayaan sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM di Australia iaitu Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc (SICHMA) bertajuk Jakim Still Turning a Blind-eye to Halal Integrity Issues'.

"Susulan pendedahan itu, JAKIM meminta penjelasan daripada pihak SICHMA pada 12 April lalu dan telah mendapat maklumbalas segera daripada SICHMA pada hari sama," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hakimah berkata, SICHMA juga membuat kenyataan akhbar pada 12 April lalu dan memberi menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi itu dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan bawah seliaan mereka.

Katanya, SICHMA juga memaklumkan mereka membuat pengauditan berkala ke atas Thomas Foods Industries.

"Pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE) yang memberi maklumbalas segera dalam isu ini menegaskan memandang serius dakwaan dan sudah memulakan siasatan.

"DAWE menegaskan Australia mempunyai peraturan ketat yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk dieksport dan hanya produk daging yang memenuhi peraturan dan keperluan eksport serta mematuhi keperluan negara pengimport sahaja dibenarkan dieksport," katanya.

Hakimah menjelaskan, prosedur pengiktirafan pengeksportan daging ke Malaysia seperti ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia termasuk aspek kebajikan haiwan sembelihan dan aspek sama juga menjadi keutamaan bagi pihak berkuasa di Australia.

Katanya, Malaysia mempunyai dasar mengenai kebajikan haiwan dan diperkukuhkan lagi dengan keperluan halal yang ditetapkan JAKIM.

"JAKIM akan memanggil pihak PEKEMAS dan pada masa sama akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa di Australia bagi menangani isu ini," katanya.

Produced by
Channel Partner
2022 © All Right Reserved