Johor sasar jualan RM20 juta menerusi FIJO 2022
Johor sasar jualan RM20 juta menerusi FIJO 2022
Published: Aug 03, 2022 8:08 AM
Updated: 8:52 AM

Kerajaan Johor menyasarkan untuk mencatatkan jualan berjumlah RM20 juta menerusi Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor (FIJO) 2022 yang akan berlangsung selama empat hari mulai 29 September hingga 2 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata acara yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) di sini itu dijangka mengukuhkan keupayaan Johor sebagai peserta industri halal global.

“Pada penganjuran FIJO 2019, kita berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM7 juta, jadi penganjuran kali ini diadakan dalam skala lebih besar dengan sasaran sebanyak 150,000 pengunjung dan jualan RM20 juta.”

“FIJO 2022 akan menyediakan 300 lot pempamer dan setakat ini lebih 70 peratus lot telah ditempah oleh usahawan tempatan dan luar negara,” katanya pada pemberita selepas menyempurnakan majlis praprelancaran FIJO 2022 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata peserta industri halal tempatan diharap dapat memanfaatkan persekitaran pasaran halal yang sangat pesat berkembang ketika ini sekali gus membantu kerajaan Johor mewujudkan lebih ramai komuniti usahawan halal.

Mohd Hairi berkata semua usaha ini akan merancakkan kegiatan ekonomi halal di samping menjadikan Johor sebagai peneraju hab halal terunggul bukan sahaja dalam negara malah di rantau ini.

“Ini kerana industri halal global terus berkembang dengan penduduk dunia membelanjakan lebih US$1.2 trillion untuk membeli produk halal pada 2018, dan angka itu dijangka meningkat kepada US$1.9 trillion pada tahun ini,” katanya.

FIJO 2022 melibatkan lapan kluster pempamer iaitu teknologi maklumat dan telekomunikasi; agensi kerajaan; teknologi makanan; kewangan dan e-dagang; perindustrian dan jentera; farmaseutikal, kosmetik dan fesyen; pelancongan serta pendidikan.

Festival itu akan mengumpulkan pengusaha dan usahawan produk halal serta patuh syariah termasuk dari peringkat antarabangsa antaranya Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom dan beberapa negara Timur Tengah.

Kandungan ini disediakan oleh Bernama.


Sebarang pertanyaan kerjasama untuk artikel/video/bual bicara, sila hubungi [email protected] atau WhatsApp di talian +60162716516 (Aisha) atau +60176190307 (Syahirah).

Kongsi Article Ini
Produced by
Channel Partner
Social Media
2022 © All Right Reserved