Kerjasama strategik PPZ-MAIWP bersama RHB Islamic Bank dalam meningkatkan kutipan zakat secara menyeluruh
Kerjasama strategik PPZ-MAIWP bersama RHB Islamic Bank dalam meningkatkan kutipan zakat secara menyeluruh

Kerjasama strategik ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat melalui pendekatan holistik dalam hebahan zakat, serta menggalakkan kemampanan kewangan sosial di kalangan masyarakat Islam. Ini bertujuan untuk mengoptimumkan potensi dan keberhasilan zakat yang merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah dan agihan zakat.

Bagi memastikan kerjasama yang berterusan, beberapa program dan kempen bakal dilaksanakan, antaranya termasuk Kempen Semarak Zakat, Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) bagi kakitangan RHB, dan Kempen Pelanggan Mewah RHB. Di bawah Kempen Pelanggan Mewah RHB, para pelanggan mewah RHB yang membuat bayaran zakat sebanyak RM25,000 dan ke atas akan berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan istimewa seperti konsultasi zakat dan faraid serta peluang untuk memilih sendiri ke mana agihan zakat mereka disalurkan mengikut pakej agihan yang disediakan. Selain itu, pihak PPZ-MAIWP dan RHB Islamic akan juga saling berkongsi maklumat, pengetahuan serta pandangan bagi menyokong kewujudan platform untuk perkongsian ilmu dan idea mengenai pelaksanaan zakat di Malaysia.

Di majlis pelancaran tersebut, RHB Islamic turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada PPZ-MAIWP bagi tahun kewangan berakhir 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin untuk membina entiti perniagaan yang berdaya maju dan seterusnya membolehkan syarikat menerima pulangan dividen yang lebih tinggi sekaligus meningkatkan bayaran zakat pada tahun-tahun akan datang.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak RHB Islamic selaku pembayar zakat kerana pembayaran zakat andalah yang membantu meningkatkan dana zakat agar agihan bagi kelangsungan asnaf yang dibuat oleh pihak MAIWP mencukupi.”

“Kami mensasarkan lebih banyak penglibatan dari kalangan kakitangan sektor swasta untuk menunaikan zakat secara potongan gaji melalui Skim PZB. Justeru itu, saya menyeru kepada majikan-majikan agar memberi galakan kepada kakitangan untuk berbuat demikian. Majikan juga boleh mendapat pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan mereka yang kurang berkemampuan”, katanya.

“Pihak RHB Islamic amat berbesar hati untuk menjadi institusi perbankan islam pertama yang menjalinkan kerjasama strategik seumpama ini bersama PPZ-MAIWP. Sinergi diantara PPZ-MAIWP dan RHB Islamic akan memberikan peluang untuk kakitangan Kumpulan Perbankan RHB dan juga para pelanggan kami untuk merasai pengalaman berzakat dengan lebih mudah. Di samping itu, kerjasama ini juga bakal membantu pihak RHB Islamic untuk menguruskan agihan zakat wakalah dengan lebih sistematik, mampan dan komprehensif,” kata Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan, RHB Islamic Bank Berhad.

Majlis dihadiri oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Bin Ali, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Bin Hj Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Produced by
Channel Partner
2022 © All Right Reserved