Pasaran modal Islam akan memanfaatkan fintech
Pasaran modal Islam akan memanfaatkan fintech
Published: Apr 25, 2022 2:27 AM
Updated: 2:27 AM

Teknologi kewangan (fintech) akan dimanfaatkan sebagai pemboleh daya bagi penyelesaian inovatif yang memfokuskan kepada ekonomi halal, pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dan kewangan sosial Islam untuk mengembangkan lagi pasaran modal Islam Malaysia (ICM).

Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran Modal Islam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Sharifatul Hanizah Said Ali, berkata suruhanjaya itu juga menjangkakan penggunaan pendigitalan dan teknologi yang lebih banyak untuk meluaskan dan mempercepatkan kapasiti pihak berkepentingan bagi meningkatkan ekosistem kewangan Islam.

"Penyelesaian digital itu akan memudahkan ketersambungan dengan membenarkan penerbit, pelabur dan pengantara mengakses pasaran sedia ada dan baharu dengan cara yang lebih cekap dan kos efektif, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan industri," katanya kepada Bernama menerusi temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Sharifatul Hanizah berkata, pasca-COVID-19, industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyedari kepentingan pendigitalan dan menggunakan fintech bagi memastikan operasi aktiviti perniagaan mereka berjalan lancar secara berterusan serta mendapatkan akses bagi modal untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan.

"Mengumpulkan modal melalui kaedah patuh Syariah adalah penting untuk PKS dalam industri halal yang menjadi jumlah yang besar dalam PKS di Malaysia," katanya.

Bagi isi rumah dalam golongan berpendapatan rendah (B40), golongan belia dan kurang bernasib baik, Sharifatul Hanizah berkata, penggunaan fintech dan fintech Islam memberi kaedah baharu untuk menjana pendapatan selepas kehilangan pekerjaan atau mengawal kewangan dengan pengurusan wang yang lebih mudah dan berkesan dengan meningkatkan tahap celik kewangan.

Menyedari kepentingan fintech untuk B40 dan PKS, beliau berkata, SC menumpukan kepada mengembangkan tawaran ICM untuk membolehkan ketersambungan, kebolehcapaian dan keterangkuman yang lebih baik untuk semua pemain pasaran terutamanya segmen kurang bernasib baik.

"Untuk mencapai matlamat ini, SC akan meningkatkan usahanya dalam pembangunan sektor kewangan sosial Islam yang telah memainkan peranan penting dalam menangani pembasmian kemiskinan dan pembangunan sosioekonomi," katanya.

Beliau berkata, hari ini, sumber pembiayaan tambahan untuk kewangan sosial Islam didayakan oleh instrumen pasaran modal seperti sukuk SRI dan dana berciri wakaf.

Mengenai Pelan Induk Pasaran Modal (CMP3) ketiga untuk 2021-2025 yang dilancarkan pada September 2021, Sharifatul Hanizah berkata, inovasi dan teknologi kewangan adalah antara bidang utama yang digariskan dalam pelan lima tahun itu.

"Untuk membolehkan pertumbuhan dan mengembangkan penawaran ICM, fintech akan dimanfaatkan sebagai pemboleh untuk penyelesaian inovatif.

"Kesedaran dan penyertaan aktif daripada bahagian permintaan dan penawaran pasaran juga penting untuk memastikan pertumbuhan dan pengembangan ICM melalui saluran fintech dan digital," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, SC akan mempergiatkan usaha berterusannya untuk meningkatkan kesedaran mengenai instrumen pengumpulan dana Islam alternatif seperti platform pembiayaan rakan setara (P2P) dan pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF).

Melihat kepada pelan strategik lima tahun CMP3, Sharifatul Hanizah berkata, SC akan terus memanfaatkan kekuatan dan kemajuan ICM Malaysia untuk merealisasikan pelbagai matlamat pembangunan mampan.

"Antara lain, SC berhasrat untuk mengubah Malaysia menjadi hab SRI serantau dengan memperluaskan capaian ICM kepada pemegang kepentingan ekonomi yang lebih luas dan membina ekosistem ICM untuk kewangan sosial Islam serta pelaburan yang memberi impak," katanya.

- BERNAMA

Produced by
Channel Partner
2022 © All Right Reserved