Dato' Seri Mohd Kamal, Zaitun Beauty kongsi perjalanan halal dalam industri komestik
Dato' Seri Mohd Kamal, Zaitun Beauty kongsi perjalanan halal dalam industri komestik
Published: Nov 05, 2022 12:55 PM
Updated: 12:56 PM

Pada awal 70an, perundangan Halal di Malaysia sudah termaktub dalam perundangan yang didapati dalam Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Makanan 1983 dan Akta Perlindungan Pengguna. Seawal itu juga perniagaan produk kecantikan dan kebersihan diri, Zaitun, yang mematuhi hukum syariah dibangunkan sehingga berlaku pengeksportan ke luar negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan sebagainya. Dato’ Seri Mohd Kamal Eusuff Teh yang merupakan anak kepada pengasas Zaitun Kosmetik Industri Sdn Bhd iaitu Allahyarham Dato’ Seri Dr. Hj Eusuff Teh, berkongsi pengalaman dan pandangannya terhadap pembangunan industri halal di Malaysia yang juga melibatkan kejayaan jenama produk kosmetik halal pertama di Malaysia pada satu masa dahulu. 

Pada waktu itu, kebanyakan orang Islam hanya melihat kepentingan halal pada makanan dan kurang kecenderungan terhadap kepentingan halal terhadap penggunaan produk harian seperti kosmetik dan barangan mandian”, kata Dato’ Kamal sewaktu ditemui di pejabat baru Zaitun di Selayang tempoh hari. Kesedaran terhadap penggunaan produk halal amat kurang kerana orang Islam kebanyakannya menitikberatkan kualiti halal dalam makanan. Zaitun Industri pada waktu itu menjadi perintis produk halal pertama di Malaysia yang dihasilkan sendiri oleh orang Islam untuk orang Islam dengan slogan ‘gunakan tanpa was-was’. 

Peratusan orang Islam adalah komuniti yang tertinggi di Malaysia, walaupun bidang ekonomi dikuasai oleh orang bukan Islam, tetapi pembangunan terhadap ekonomi Islam juga perlu diteruskan. Dato’ Kamal berkata, “Zaitun Industri melihat kepada pencapaian untuk memenuhi nilai murni manusia yang sememangnya mementingkan kesucian, kebersihan, keselamatan dan kualiti terhadap pembentukan insan. Jadi, produk yang selamat dan suci bukan hanya dihasilkan untuk orang Islam tapi boleh digunakan oleh semua agama, kaum dan bangsa disebabkan oleh kualitinya”.

Konsep halal adalah untuk menjaga keselamatan umat daripada kemudaratan dari aspek rohani dan juga jasmani. Kini, halal sudah menjadi fenomena dalam urusan perniagaan sehingga mempengaruhi pasaran global. Produk dan perkhidmatan patuh syariah mendapat sambutan baik tidak kira dalam kalangan pengguna Islam mahupun bukan Islam disebabkan oleh manfaat yang diperoleh penggunanya. Sebagai contoh, penghasilan produk kecantikan yang menerapkan konsep halal perlu menjalani beberapa uji kaji dan pemeriksaan daripada badan berkuasa seperti JAKIM. Produk yang mendapat kelulusan JAKIM semestinya dijamin bersih, berkualiti dan selamat tanpa ujian terhadap mana-mana hidupan. 

“Produk kegunaan harian yang Zaitun sediakan juga sememangnya untuk semua. Kami bukan sahaja mementingkan kualiti produk, malah kualiti harga barangan juga dititikberatkan. Harga yang ditetapkan sememangnya berpatutan dan mampu milik.”, ujar Dato’ Kamal.

Selain penerapan halal dalam penghasilan produknya, Dato’ Kamal juga berkongsi aspek-aspek murni yang diterapkan melalui perniagaannya. Zaitun Industri dikatakan sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan dan meningkatkan kemahiran kerja mereka supaya ia menjadi satu manfaat buat mereka kelak. 

“Cara kami menghargai dan membalas budi pekerja kami pada saat itu salah satunya adalah dengan membawa mereka menunaikan ibadah umrah dan kos ke sana sepenuhnya ditanggung oleh syarikat. Pada saya, keuntungan syarikat bukanlah untuk kepentingan syarikat tetapi ia adalah sebuah rezeki yang dikurniakan Allah SWT untuk dikongsi bersama”, kongsi Dato’ Kamal. 

Selain menunaikan kewajipan zakat dalam perniagaan, Zaitun Industri juga banyak menyumbang kepada rumah kebajikan dan anak yatim dan serta bersedekah kepada asnaf demi pembangunan ekonomi komuniti umat Islam di Malaysia dan juga luar negara. 

Arah aliran industri halal sebelum ini sememangnya berbeza dengan sekarang. Informasi dan kesedaran tentang halal semakin meluas dan boleh didapati di internet seperti media sosial dan akbar digital. Halal tidak hanya fokus kepada pengguna malah ia juga membantu dalam pembangunan usahawan dan ekonomi umat Islam. 

Bantuan kepada usahawan yang ingin mengetengahkan produk halal juga semakin giat ditawarkan. Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) juga membuka langkah dalam membantu syarikat dan usahawan yang menawarkan produk dan perkhidmatan halal di Malaysia memasuki pasaran luar dengan cara promosi yang melibatkan misi perdagangan seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS). 

“Dulu kita tiada internet, media sosial dan sebagainya. Hanya akhbar dan televisyen menjadi tempat informasi banyak disalurkan kepada umum. Sekarang segala informasi hanya dihujung jari. Pameran dan persidangan halal juga banyak dianjurkan seperti MIHAS dan PIHEC. Termasuk juga bantuan konsultasi tentang halal yang ditawarkan oleh JAKIM sendiri kepada usahawan di Malaysia”- kata Dato’ Kamal. 

Beliau juga berkata bahawa orang Islam kini lebih peka terhadap status dan kualiti halal setiap produk dan perkhidmatan yang digunakan. Bantuan dalam mengetengahkan produk dan perkhidmatan halal sangat disambut baik. Malah, industri perbankan juga kini sudah mengembangkan perkhidmatan kewangan Islam yang menawarkan khidmat perbankan Islam yang menolak riba dan membawa kembali manfaat kepada pengguna dan alam sekitar. 

Usaha dalam membangunkan ekonomi Islam dan industri halal ini perlu dimainkan oleh kesemua pihak. Tidak kira badan kerajaan, korporat mahupun rakyat sendiri. JAKIM telah menetapkan standard halal yang berkualiti dan tinggi  yang perlu dicapai oleh setiap industri industri perniagaan. 

“Jakim melakukan banyak usaha dalam mempertingkat standard halal dengan memastikan semua industri mematuhi nilai Islam. Sebagai contoh konsultasi tentang halal, latihan pengurusan makanan dan produk halal, dan penetapan prosedur-prosedur yang ketat supaya kesucian dan keselamatan produk terjamin.”- kata Dato Kamal. 

Zaitun Industri yang menjadi salah satu batu loncatan dalam industri kosmetik halal di Malaysia amat menggalakkan setiap usaha dalam pembangunan industri ini. Kebangkitan semula Zaitun dalam pasaran halal di Malaysia merupakan salah satu langkah untuk memperluas industri halal di Malaysia. Produk ubat giginya yang berkualiti dan pernah mendapat tempat di hati pengguna Islam Malaysia pada suatu ketika dahulu kini kembali berada di pasaran dan diharap tetap terpahat di hati pengguna sehingga kini. 

Ingin menggamit nostalgia ubat gigi Zaitun? Dapatkan ubat gigi Zaitun di sini atau kedai runcit berdekatan anda. 

Ikuti Zaitun Beauty menerusi:-

Facebook

Instagram

Kandungan ini disediakan oleh Zuhairah Zaimuddin.


Sebarang pertanyaan kerjasama untuk artikel/video/bual bicara, sila hubungi [email protected] atau WhatsApp di talian +60162716516 (Aisha) atau +60176190307 (Syahirah).

Produced by
Channel Partner
2022 © All Right Reserved