Hanya 14 pusat sembelihan dapat sijil halal di Selangor
Hanya 14 pusat sembelihan dapat sijil halal di Selangor

Hanya 14 daripada 343 pusat penyembelihan di Selangor yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) setakat Januari lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, baki daripada jumlah tersebut masih belum mendapat sijil berkenaan.

Menurutnya, antara punca premis-premis berkenaan sukar mendapatkan SPHM kerana kebanyakan mereka menjalankan aktiviti sembelihan di atas tanah pertanian.

"Tapi perkara ini boleh dibincangkan supaya mereka dipindahkan ke premis-premis industri untuk mengurangkan pencemaran kawasan sekitar seperti darah daripada sisa sembelihan dapat diurus dengan baik.

"Semua 343 premis tersebut dipantau oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), cuma kita sedang melihat bagaimana mereka boleh dijadikan sebagai pusat sembelihan halal yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor 2022 di Shah Alam Convention Centre, di sini pada Jumaat.

Mohd Zawawi ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor 2022 di Shah Alam Convention Centre pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi menyarankan semua pengusaha pusat sembelihan di Selangor untuk memohon SPHM untuk kepentingan bersama terutamanya pengguna.

Ujarnya, kerajaan Selangor turut membantu pihak tersebut untuk mendapatkan sijil halal menerusi program International Muslim Friendly Affiliation Network (IMFAN).

"Saranan saya kepada semua pengusaha pusat sembelihan halal ini supaya mereka mencari lokasi yang lebih sesuai dan selamat untuk kepentingan bersama terutamanya pengguna kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan sembelihan tersebut.

"Jika keadaannya kotor dan tidak terurus, pasti ia akan memberikan kesan buruk kepada kesihatan penduduk dan pengguna," katanya.

Sementara itu, Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor 2022 diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada pengusaha-pengusaha pusat sembelihan di negeri tersebut.

Mohd Zawawi berkata, para penerima anugerah dibahagikan kepada dua kategori iaitu industri kecil dan sederhana.

"Juri membuat keputusan memilih premis-premis terbaik dan ini adalah hasil cetusan daripada JAIS yang ingin mendorong pusat-pusat sembelihan ini untuk mendaftarkan premis mereka dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Diharapkan dengan adanya anugerah ini, ada dorongan dan rangsangan kepada pemain industri dalam sektor sembelihan ini untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

— Berita Harian

Produced by
Channel Partner
2022 © All Right Reserved