TheNoor Sasar Kumpul Dana Rm5 Juta Melalui Platform Islamik Ecf, Ethis
TheNoor Sasar Kumpul Dana Rm5 Juta Melalui Platform Islamik Ecf, Ethis
Published: Aug 19, 2022 3:19 AM
Updated: Aug 29, 2022 6:50 AM

Kuala Lumpur, Malaysia, 19 August 2022 – Aplikasi super Islamik pertama di Malaysia, TheNoor (Noor Luminous Sdn Bhd) menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM5 juta (AS$1.12 juta) melalui platform pelaburan berimpak Malaysia dan Pembiayaan Dana Awam Berekuiti (ECF) Islamik, Ethis.

Dengan nilai pelaburan awal (pre-money) sebanyak RM42,900,000 (AS$9.62 juta), pelabur boleh mengambil bahagian dalam kempen ECF untuk menyertai perniagaan TheNoor (bermaksud 'cahaya' dalam bahasa Arab) dengan jumlah pelaburan minimum RM500 untuk memiliki 20 unit saham.

Sejak dilancarkan pada Januari 2021, aplikasi TheNoor telah memperoleh hampir 6 juta muat turun di Google Play Store dan Apple App Store dengan mempunyai lebih 2.8 juta pengguna berdaftar.

Selain membantu pengguna mencapai komitmen rohani, aplikasi itu juga mendekatkan mereka kepada agama melalui pembelajaran berterusan dan pendedahan kepada ajaran Islam melalui kaedah yang lebih segar, mudah diakses, interaktif dan secara peribadi.

Aplikasi berasaskan agama itu bertujuan untuk membantu lebih ramai umat Islam menjalani gaya hidup holistik yang Islamik melalui kepelbagaian ciri-ciri dalam aplikasinya, termasuk pengesanan masa nyata untuk mencari lokasi masjid berdekatan dan arah kiblat, jadual waktu solat, pembayaran zakat, kalkulator algoritma Faraid untuk pengiraan pengagihan harta mengikut syariah dan maklumat cuaca terkini.

Aplikasi teras semasa juga menyediakan bacaan ayat-ayat al-Quran secara moden dan komprehensif yang dilengkapi dengan pilihan terjemahan suara dalam lima bahasa dengan audio resolusi tinggi. Lebih banyak bahasa akan ditambah tidak lama lagi. Ia juga menampilkan ciri-ciri bantuan membaca al-Quran untuk mereka yang baru belajar.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi TheNoor, Mohd Izzairi Yamin adalah seorang usahawan teknologi berpengalaman, di mana beliau sudah melancarkan syarikat pemula yang disokong modal teroka (venture capital) dan didokong agensi seperti MRANTI (dahulu dikenali sebagai MaGIC). Izzairi berkata pelaburan yang diperoleh akan disalurkan untuk memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan, pengiklanan dan promosi serta mengembangkan pasukan.

“Pembiayaan dana awam akan membantu mempertingkatkan aplikasi sedia ada supaya kami boleh menawarkan produk yang mampu memupuk dan memperkayakan gaya hidup umat Islam di seluruh dunia. Kami ingin menyertai perkembangan pantas industri halal yang kini menjadi sektor kompetitif di peringkat global dengan memanfaatkan teknologi.

"Teknologi akan membolehkan lebih ramai umat Islam mencapai komitmen rohani dengan mengubah cara kita terlibat dengan ajaran Islam. Kami terus mengusahakan pelbagai ciri baru untuk mewujudkan nilai tambah bagi pengguna serta memperkenalkan kandungan yang lebih interaktif, pendidikan untuk kanak-kanak, mewujudkan kaunter Syariah, e-dompet dan banyak lagi,” katanya.

Aplikasi ini serasi dengan gajet aktif masa kini yang membolehkan pengguna menjejaki corak solat mereka dan juga memantau kadar pembakaran kalori ketika melakukan ibadat tersebut. Pasaran dalam aplikasi NoorCommerce juga telah ditingkatkan bagi membolehkan pengguna mencari, membeli dan menjual produk halal dalam pelbagai mata wang.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Noor Neelofa Mohd Noor berkata: “TheNoor direka untuk orang Islam seperti anda dan saya yang menyesuaikan antara permintaan kehidupan moden sama ada di rumah, tempat kerja atau ketika melancong.

"Ia adalah sumber utama untuk umat Islam di mana-mana untuk membentuk hubungan yang bermakna dengan bantuan pendidikan agama berteraskan prinsip dan cita-cita Islam. Teknologi bukan sahaja boleh membantu kita menjadi lebih produktif dan berhubung, tetapi ia juga boleh membantu kita menjadi umat Islam yang lebih baik."

Dari kiri: Wan Mohd Dazriq Wan Zulkiflee- Ketua Pegawai Eksekutif Ethis Malaysia, Noor Neelofa- Ketua Pegawai Executive The Noor dan Mohd Izzairi Yamin- Ketua Pegawai Teknologi TheNoor

Walaupun aplikasi itu ditawarkan secara percuma, TheNoor menggunakan model perniagaan mudah untuk berkembang dan boleh menjana pendapatan melalui perkhidmatan kewangan dan pelancongan, perkongsian perniagaan, e-dagang dan pengiklanan.

“Sebagai platform ECF patuh syariah pertama di Malaysia, terdapat sinergi semula jadi antara kami dan TheNoor dari segi nilai teras, dalil dan kepercayaan asas untuk menyokong pertumbuhan pesat ekonomi Islam bersama-sama. Di Ethis, kami berbesar hati kerana dapat menyokong kempen pembiayaan dana awam TheNoor sebagai sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan berterusan dan aspirasi mereka bagi memberi kesan kepada umat Islam di seluruh dunia. Kami melihat itu sebagai usaha berterusan untuk menyebarkan kebaikan bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi juga melibatkan masyarakat umum. Kempen pembiayaan dana awam ini memberi peluang kepada semua untuk menyokong salah satu syarikat permulaan teknologi berasaskan Islam Malaysia yang paling pesat berkembang dengan cara melabur dalam mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ethis Malaysia Wan Mohd Dazriq Wan Zulkiflee.

Tahun ini, dengan kerjasama Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS), TheNoor merancang untuk memperkenalkan pakej umrah dalam aplikasi, yang akan membolehkan pengguna menjalankan segala urusan berkaitan umrah - daripada pendaftaran dan tempahan sehinggalah selesai ibadat tersebut. Ia juga akan dilengkapi ciri-ciri penjejak mutawif, jadual perjalanan terperinci, insurans perjalanan, perkhidmatan pertukaran mata wang dan kursus umrah untuk pengguna mendapatkan ilmu mengenai ibadat umrah.

Menurut 'State of the Global Islamic Economy Report 2018/19' oleh Thomson Reuters dengan kerjasama DinarStandard, pasaran halal global diramalkan mencecah AS$9.71 trilion menjelang 2025, dengan negara seperti Malaysia dijangka mendahului pada masa hadapan.

Syarikat-syarikat yang menjadi rakan kongsi TheNoor ketika ini termasuk Bank Islam, Fasspay, Fipper, Furada, Google Cloud, King Fahd Glorious Quran Printing, PPZ Kuala Lumpur, Max Money, Split, Tabung Haji Travel, ZeptoExpress dan Zurich General Takaful.

TheNoor juga akan mengadakan pertandingan tilawah al-Quran pada September 2022 dengan lima pemenang teratas akan menerima pakej menunaikan umrah secara percuma serta tiga blok pelaburan di TheNoor bernilai RM1,500.

Pelabur yang berminat boleh mengambil bahagian dalam kempen pembiayaan dana awam berekuiti TheNoor di: https://ethis.co/my/project/thenoor/

Kandungan ini disediakan oleh TheNoor.


Sebarang pertanyaan kerjasama untuk artikel/video/bual bicara, sila hubungi [email protected] atau WhatsApp di talian +60162716516 (Aisha) atau +60176190307 (Syahirah).

Kongsi Article Ini
Produced by
Channel Partner
Social Media
2022 © All Right Reserved