PETALING JAYA, 16 Jun 2022 - Sempena ulang tahun ke-25, PPIM telah melancarkan aplikasi rasminya dengan kerjasama Crescent Digital yang dinamakan aplikasi YAKIN. Majlis pelancaran aplikasi YAKIN ini dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang diadakan di Hilton Hotel, Petaling Jaya.
Diambil dari perkataan Arab “Yaqeen” yang memberi makna pasti, percaya tanpa sebarang kecurigaan. YAKIN digambarkan sebagai sebuah dedikasi dari PPIM dalam memperkasakan pengguna dan usahawan Muslim menerusi era digital ini. YAKIN adalah sebuah aplikasi rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dibina untuk membantu pengguna menerapkan nilai dan gaya hidup orang IslaM sekaligus menjadi pemangkin kepada inovasi tempatan yang bernilai tinggi bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan teknologi Islam di Malaysia.
Di dalam ucapan Dato Sri Adham Baba, beliau memberikan ucapan tahniah kepada PPIM dan Crescent Digital dalam pembangunan aplikasi YAKIN ini. Beliau berkata, “Saya akan sentiasa mengalu-alukan pendekatan inovasi seperti ini bagi meningkatkan lagi gaya hidup digital di Malaysia seperti yang dilakukan oleh PPIM hari ini. Bersama jumlah pengikut yang melebihi 1.5 juta daripada lima jenis media sosial, saya percaya aplikasi YAKIN ini berpotensi menjadi aplikasi yang amat komprehensif dalam menerapkan gaya hidup Muslim bukan sahaja di Malaysia malah di luar juga”.
Menurut Datuk Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM, “YAKIN tidak hanya tertumpu kepada pengguna malah ia dibangunkan bagi membantu peniaga-peniaga di Malaysia tidak kira Islam mahupun bukan Islam yang mencari khidmat mempromosi barangan dan perniagaan mereka. Kami yakin bahawa aplikasi ini akan bermanfaat kepada semua rakyat Malaysia selari dengan misi PPIM untuk melakukan fardhu kifayah dalam melindungi pengguna Islam dan juga perniagaan Islam melalui tindakan yang strategik dan proaktif”.
YAKIN menawarkan fitur-fitur menarik yang memudahkan kehidupan harian pengguna Islam. Antara khidmat yang disediakan adalah Modul Ibadah yang menyediakan fitur waktu solat, tasbih digital, arah kiblat, doa harian dan kalkulator Zakat. Fitur notifikasi untuk waktu solat boleh dipilih untuk mengaktifkan seruan Azan yang dialunkan oleh artis terkenal iaitu Black Hanifah. Selain itu, khidmat Sumbangan Derma dan Aduan juga disediakan bagi memudahkan pengguna melakukan amal ibadah seperti sedekah serta membuat sebarang aduan atau laporan ke atas perniagaan yang melanggar etika dan undang-undang pengguna di Malaysia. Menerusi aplikasi YAKIN, pengguna juga boleh mendapatkan artikel-artikel dan berita terkini di ruangan Penerbitan Terkini yang disediakan oleh PPIM.
PPIM mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di media sosial dan menjadikannya satu peluang untuk membantu peniaga-peniaga Muslim di Malaysia melalui khidmat pengiklanan menerusi aplikasi YAKIN. Setiap peniaga yang memerlukan promosi dan publisiti untuk produk atau perniagaan mereka boleh melanggan pakej pengiklanan yang disediakan di dalam aplikasi YAKIN. Harga pengenalan bagi pakej pengiklanan ini juga disediakan oleh pihak PPIM.
Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa berkata “Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan PPIM dalam mengusahakan aplikasi bermanfaat ini. Selain dari fitur-fitur yang tersedia, kami juga akan memperkenalkan pelbagai lagi fitur yang berguna untuk kehidupan pengguna Islam seperti e-dagang, direktori perniagaan, direktori penipuan dan banyak lagi. YAKIN mampu menjadi satu aplikasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga, malah mampu memberi kebaikan kepada inovasi ekosistem dalam membangunkan barangan tempatan dan memperluaskan lagi ekonomi digital orang Islam di Malaysia dan Asia Tenggara”.
Selain Crescent Digital, majlis pelancaran ini juga dijayakan oleh Mastercard, Jakel, Syed Food, Mobilit One dan Sayajual.io. Kini, aplikasi YAKIN sudah pun tersedia di boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store, App Store dan Huawei AppGallery untuk semua telefon pintar Android dan iPhone.