Perbankan Islam Malaysia antara sektor termaju dunia
Perbankan Islam Malaysia antara sektor termaju dunia

Perbankan Islam di Malaysia adalah antara sektor paling maju di dunia, demikian menurut Moody's Investors Service.

Firma perkhidmatan pelaburan itu berkata, pembiayaan Islam juga berkembang lebih pantas berbanding konvensional sejak lima tahun lalu.

"Pembiayaan patuh Syariah menyumbang 42.5 peratus kepada jumlah keseluruhan pembiayaan di Malaysia setakat 31 Disember 2021," katanya dalam satu nota.

Moody's Investors Service berkata, perbankan Islam mendapat manfaat daripada ekosistem kewangan Islam yang komprehensif merangkumi sukuk, takaful dan dana Islam.

"Ekosistem ini membolehkan perbankan Islam menawarkan rangkaian penuh produk dan perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh bank konvensional," katanya.

Firma itu menjelaskan, pasaran sukuk Malaysia juga adalah yang terbesar di dunia, disokong oleh terbitan berdaulat dan korporat tetap.

Katanya, kerajaan negara ini turut memudahkan pertumbuhan kewangan Islam dengan rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif yang terdiri daripada majlis penasihat Syariah kebangsaan dan jawatankuasa penyeliaan di institusi kewangan Islam.

"Ia juga memacu pertumbuhan kewangan Islam melalui pemilikan tidak langsung dalam bank Islam dan kumpulan perbankan tempatan.

"Di samping itu, kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan adalah pengeluar tetap sukuk, mewujudkan penanda aras dan membuka jalan kepada syarikat swasta untuk menerbitkan sukuk mereka sendiri," katanya.

Januari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan pelan hala tuju lima tahun untuk sektor kewangan, dengan kewangan Islam sebagai antara satu daripada lima inisiatif.

Bank pusat merancang untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk untuk kewangan Islam melalui pembangunan kewangan mampan dan integrasi dengan ekonomi halal global.

Pelan hala tuju terbabit juga akan memacu penggunaan amalan kemampanan dalam kalangan bank Islam melalui rangka kerja Pengantaraan Berasaskan Nilainya (VBI).

Penyepaduan kewangan sosial ke dalam ekosistem kewangan Islam juga menjadi antara keutamaan BNM yang mana akan mengukuhkan lagi kerjasama antara bank Islam, Majlis Agama Islam Negeri, kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam menggerakkan zakat, wakaf, dan sedekah untuk menyokong objektif sosio ekonomi kerajaan.

— Berita Harian

Produced by
Channel Partner
2022 © All Right Reserved