Select Page

Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa yang bertempat di Pusat Konvensyen Movenpick di Sepang baru-baru ini bagi memupuk nilai masyarakat yang penyayang. Program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan ukhwah dan silatulrahim di kalangan warga kerja Mӧvenpick Hotel dan juga kanak-kanak dari Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As Solihin Kanchong Darat.

Pengurus Besar Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Wan Enderi Mohd Saad berkata, Mövenpick telah mengambil inisiatif untuk memupuk dan menerapkan nilai-nilai tersebut kepada warga kerja Mӧvenpick Hotel untuk sentiasa mengingati mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.

Tanggungjawab sosial korporat ini merupakan acara tahunan Mövenpick pada bulan Ramadan semenjak tahun 2018. Pada tahun lepas, Mövenpick telah mengambil inisiatif menghantar juadah berbuka kepada rumah-rumah anak yatim dan asnaf di sekitar kawasan yang berhampiran memandangkan negara sedang menghadapi PKP.

Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf As Solihin Kanchong Darat merupakan sebuah rumah amal yang ditubuhkan oleh Ustaz Molyana bin Mahmud bagi membantu anak-anak yatim dan asnaf. Rumah ini terdiri daripada 35 anak lelaki dan 37 anak perempuan dalam lingkungan umur 1 hingga 17 tahun dan ditubuhkan di atas kesedaran serta tanggungjawab untuk membina kehidupan yang lebih sempurna untuk anak-anak yatim dalam kalangan fakir miskin.

Para tetamu dihidangkan dengan hidangan Iftar Ramadhan yang telah disediakan oleh pihak kulinari Mövenpick Hotel yang diketuai oleh Sous Chef Norarazman Aljunid. Bagi mencipta memori dan kenangan yang indah bagi kanak-kanak tersebut pada bulan yang mulia ini, sebuah Acara Pemberian duit raya dan hadiah telah diadakan oleh barisan Ketua-ketua Jabatan Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA yang dipimpin oleh Pengurus Besar, Wan Enderi Mohd Saad.