Select Page

Sempena Ramadhan tahun ini, Halal Development Corporation (HDC) telah menghulurkan sumbangan kepada Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras Kuala Lumpur yang menempatkan seramai 30 anak-anak yatim dan miskin baru-baru ini.

Majlis serahan bantuan CSR Ramadhan anggaran berjumlah RM20,000 disempurnakan oleh Ketua Pengawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, diiringi oleh pengurusan kanan HDC. Manakala Rumah Bakti Nur Shaheera diwakili oleh Pengerusinya, Johari Hj Basri.

Hairol berkata, beliau mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan anak asnaf dan anak yatim yang memerlukan bantuan ini. Program amal Ramadhan diadakan setiap tahun oleh HDC dan masih dengan konsep Pengurusan Polariti Golongan B40 di bawah Dasar Kemakmuran Bersama 2030, di mana setiap golongan tidak diketepikan di dalam pengagihan ekonomi yang adil.

Ujarnya lagi, terdapat peluang yang amat besar dalam industri halal global dengan peluang pasaran dunia bernilai AS$30.6 trilion. Oleh itu, anak-anak muda perlu didedahkan kepada kesedaran industri halal sejak awal lagi. Sehubungan dengan itu, selain dari sumbangan wang ringgit, HDC akan turut menawarkan sesi kesedaran halal kepada anak-anak ini yang bertujuan untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada mereka mengenai konsep halal sebagai gaya hidup serta peluang pekerjaan di dalam industri yang dapat menjana ekonomi bila mereka dewasa kelak.

Bantuan yang disalurkan oleh HDC merupakan cek bernilai RM5,000, mesin jahit, barangan peralatan elektrik, barangan kebersihan diri, dan peralatan sekolah atau pembelajaran.