Mar 10, 2025 2PM
400,000 pelancong Muslim dijangka berkunjung ke Malaysia sepanjang Ramadan
Malaysia dijangka akan menerima kehadiran seramai 250,000 ke 400,000 pelancong Muslim yang tertarik dengan budaya perayaan Islamik dan tawaran pelancongan sepanjang Ramadan ini.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Dr. Wan Muhammad Adam Wan Norudin berkata, tarikan Malaysia sebagai destinasi Ramadan terus berkembang terhadap pengunjung luar khususnya dari Brunei, Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
“Itu sasaran kami, dan jika ikutkan suasana sekarang, keterujaan itu jelas, sama seperti tahun-tahun sebelum ini,
“Kami juga melihat pertambahan pelancong Turkiye yang ingin merasakan sesuatu yang unik disini,” katanya seperti dipetik The Star.
Masjid Putra, Malaysia merupakan sebuah masjid yang unik dengan warna merah jambu ikoniknya, sehingga ia lebih dikenali sebagai ‘Pink Mosque’ oleh pelancong luar negara.
Tambah beliau, pemain industri turut menganjurkan festival kebudayaan, konsert nasyid dan program-program lain di Putrajaya untuk menambah baik pengalaman pengunjung.
Wan Muhammad berkata, kebanyakan pelancong Muslim akan tiba pada minggu terakhir Ramadan, iaitu sewaktu promosi-promosi perayaan untuk beli-belah Aidilfitri sedang rancak berlangsung.
“Pelancong boleh merasai dua pengalaman berbeza secara serentak di mana mereka boleh memerhatikan suasana Ramadan sambil mengambil peluang ini membeli belah ketika musim pra-Hari Raya, iaitu sebuah tradisi kebudayaan yang penting di sini,” katanya.
Menurut kenyataan Pusat Pelancongan Islam (ITC) pula, suasana Ramadan di Malaysia yang meriah menjadikan negara ini destinasi pelancongan terbaik untuk pelancong muslim dan non-muslim.
“Bagi pelancong Muslim, ini merupakan peluang untuk merasai sambutan Ramadan di negara majoriti-Muslim, berbuka puasa dengan komuniti setempat, meneroka bazar Ramadan dan melaksanakan solat sunat tarawih,” katanya.
Hari Raya menjadi satu musim yang terbaik untuk memperkenalkan keunikan tradisi dan budaya negara ini kepada pelancong luar negara.
Dari Januari ke November 2024, Malaysia menerima 4.28 juta pelancong Muslim, kebanyakannya dari Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi dan Kazakhstan.
Presiden Pertubuhan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA), Mint Leong berkata, meskipun Malaysia popular dalam kalangan pelancong Muslim, ia kini menyasarkan pengunjung Muslim khususnya dari China.
“Dengan 100 juta Muslim di China, dan kebanyakan dari mereka tidak pernah melawat Malaysia, kami nampak satu peluang yang besar untuk memperkenalkan mereka kepada perayaan Ramadan dan Hari Raya kita yang unik,” katanya.
Kini, pengusaha pelancongan sedang menyesuaikan pakej pelancongan dengan menyertakan sesi solat Jumaat, berbuka puasa bersama warga tempatan, dan pertukaran budaya untuk pengalaman yang lebih mendalam.
Juadah halal Malaysia juga adalah tarikan utama dalam usaha ini, menawarkan rasa yang berbeza dari China.
Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Lim Choong Sean pula berkata dia menyedari terdapat peningkatan dalam tempahan bilik hotel untuk Hari Raya.
“Tempahan merosot pada awal Ramadan tapi mulai meningkat dari minggu keempat dan seterusnya, dengan kebanyakan hotel penuh ditempah ketika minggu perayaan,” katanya.
Waktu Solat


12 Mar 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:27

