Back To All

Nov 25, 2025 6PM

JAKIM teliti RUU Keluarga Islam, fokus nafkah ibu bapa uzur

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini meneliti draf pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, termasuk mempertimbangkan keperluan memperincikan peruntukan nafkah bagi ibu bapa yang uzur.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa draf berkenaan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Mac tahun depan.


Menurut beliau, semakan menyeluruh itu dilakukan untuk memastikan peruntukan yang dirangka selari dengan prinsip syariah dan menepati keperluan semasa masyarakat Islam di Malaysia.


“Semakan ini membolehkan kerajaan menilai secara lebih komprehensif sama ada peruntukan sedia ada memadai atau memerlukan penelitian lanjut.

 

“Pada masa ini, penyediaan draf undang-undang sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan, libat urus dengan pihak berkepentingan serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa draf berkenaan dijangka dibentangkan Mac tahun depan


Beliau menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai usaha kerajaan menambah baik undang-undang keluarga Islam untuk mewajibkan pemberian nafkah kepada ibu bapa yang uzur, tidak berpendapatan atau tidak mampu menyara diri.


Mohd Na’im turut memaklumkan bahawa kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah sedang merangka RUU Mahkamah Syariah baharu, yang memperincikan punca kuasa lebih jelas berhubung nafkah dan jagaan ibu bapa.


“Langkah ini bagi memastikan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang kukuh untuk mengendalikan tuntutan kebajikan ibu bapa yang tidak berupaya,” katanya dipetik Bernama.


Berhubung mekanisme penyelarasan antara Persekutuan dan negeri, beliau menjelaskan bahawa perkara itu ditangani melalui Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan serta Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan Mahkamah Syariah lebih seragam.


Sesi libat urus turut dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat terperinci, membincangkan isu pelaksanaan di lapangan, serta memastikan model peruntukan yang dirangka lebih praktikal.


Melalui mekanisme ini, JAKIM dapat menilai, menyelaras dan menyediakan draf peruntukan contoh yang boleh dijadikan rujukan negeri-negeri, sekali gus memastikan pelaksanaan dan tafsiran undang-undang Syariah lebih konsisten di seluruh negara.


Sementara itu, selagi proses perincian RUU masih berjalan, JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti turut melaksanakan program pembangunan keluarga bagi meningkatkan literasi dan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa.




Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

28 Nov 2025

Waktu solat berikutnya,

Maghrib

pada

19:01

mosque
imsak

Imsak

05:41:00

fajr

Fajr

05:51:00

syuruk

Syuruk

07:02:00

dhuhr

Dhuhr

13:04:00

asr

Asr

16:26:00

maghrib

Maghrib

19:01:00

isha

Isha

20:15:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase