Back To All

Mar 11, 2025 4PM

Program Kongsi Rezeki, McDonald's Malaysia raih peluang santuni komuniti

Program Kongsi Rezeki anjuran McDonald's Malaysia mengimarahkan ibadah puasa dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di masjid dan surau seluruh negara, berlangsung sejak 23 Februari lalu. 

 

Antara aktiviti utama termasuk memasak dan mengedarkan bubur lambuk, menyampaikan Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian kepada komuniti yang memerlukan, serta menaja juadah moreh kepada jemaah selepas solat tarawih. 


Inisiatif ini telah menjadi sebahagian daripada komitmen McDonald’s Malaysia setiap Ramadan sejak tahun 2015.

 

Pada acara semalam, McDonald’s Malaysia menerima kerjasama daripada Pusat Zakat Pahang, Alam Flora, dan Indah Water Konsortium serta penduduk setempat dalam aktiviti bergotong royong membersihkan kawasan masjid dan persekitaran.


“Sebagai syarikat milik orang Islam, bulan Ramadan adalah detik yang amat kami nantikan kerana ia memberi peluang untuk kami menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang selama ini menyokong McDonald’s Malaysia, di samping mendekati keluarga yang memerlukan agar sumbangan kami dapat meringankan beban mereka dalam menghayati ibadah di bulan yang mulia ini.


"Lebih istimewa, usaha-usaha ini adalah satu bentuk ibadah yang sangat dituntut, dan tiada yang lebih membahagiakan selain melihat senyuman terukir di wajah mereka apabila disantuni.

 

“Selepas 11 tahun menganjurkan inisiatif ini di setiap Ramadan, kami berhasrat menggandakan usaha melalui aktiviti yang mengeratkan silaturahim dan mengimarahkan majlis ilmu, supaya ia memberi impak yang lebih positif. 


"Pada masa yang sama, kami akan meneruskan sumbangan moreh di masjid dan surau” kata Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Dato' Haji Azmir Jaafar.

 

Lebih 100 sukarelawan menyertai aktiviti bergotong royong semalam di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan, manakala hampir 50 restoran McDonald’s Malaysia turut menjalankan aktiviti yang sama di pelbagai lokasi serata negara


McDonald’s Malaysia memilih empat lokasi sebagai tumpuan utama, iaitu Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan; Shah Alam; Datuk Keramat, serta sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Pantai.


Majlis ilmu dan berbuka puasa yang pertama dimulakan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan sebagai acara pembuka tirai yang berlangsung hari ini. 

 

Rakan kerjasama McDonald's Malaysia daripada Pusat Zakat Pahang, Alam Flora dan Indah Water Konsortium serta komuniti setempat pula berganding bahu membersihkan masjid dan kawasan persekitaran untuk menyambut jemaah beribadah.


Usaha ini akan diperluaskan kepada 50 masjid dan surau lain sebelum memasuki bulan Ramadan. 

 

McDonald’s Malaysia turut menganjurkan majlis ilmu untuk komuniti setempat dan akan memperluaskan inisiatif ini ke tiga lagi lokasi yang akan menjadi tumpuan utama sepanjang Ramadan ini.


Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada komuniti Kampung Peramu yang memerlukan serta menganjurkan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, Sahibus Saadah Dato' Haji Badli Shah bin Haji Alauddin.

 

Kemeriahan ini akan disusuli dengan satu lagi lokasi iaitu Pesta Pelita Panjut di Kuala Kangsar pada 25 Mac 2025, bagi meraikan dan menyerlahkan tradisi unik masyarakat setempat dalam menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.


Sebagai tanda sokongan, 22 restoran McDonald’s Malaysia terpilih akan dihiasi dengan lampu gilap-gemilap sempena pesta tersebut.

 

Syarikat milik 100% orang Islam itu akan mengunjungi kira-kira 400 masjid dan surau untuk menyambut kemeriahan bulan yang mulia dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan melalui lebih 370 rangkaian restorannya di seluruh negara.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

12 Mar 2025

Waktu solat berikutnya,

Maghrib

pada

19:27

mosque
imsak

Imsak

06:03:00

fajr

Fajr

06:13:00

syuruk

Syuruk

07:20:00

dhuhr

Dhuhr

13:26:00

asr

Asr

16:36:00

maghrib

Maghrib

19:27:00

isha

Isha

20:36:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

hiphip

Media Partner for

Hei 2023Hei 2023Malaysia Showcase