May 16, 2025 7PM
Malaysia sedia bincang kerjasama perbankan Islam, industri halal dengan Republik Tatarstan
Malaysia bersedia untuk menjalin kerjasama dan memperkukuh hubungan dengan Republik Tatarstan yang mempunyai potensi besar untuk diterokai.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia terbuka untuk berbincang mengenai isu perdagangan dan ekonomi seperti pengenalan perbankan Islam dan pembangunan industri halal di Kazan.
“Saya percaya Tatarstan mempunyai potensi yang besar (dan terdapat) banyak cadangan yang telah dikemukakan.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak,” kata beliau semasa bertemu Rais (Ketua) Tatarstan Rustam Minnikhanov.
Sehingga 2022, populasi Tatarstan berjumlah 3.9 juta orang, terdiri daripada lebih 70 kumpulan etnik, dengan lebih 50 peratus daripada penduduknya beragama Islam.
Anwar ketika bertemu Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov
Bernama melaporkan, pertemuan itu diadakan di Kazan Kremlin dan dihadiri oleh Perdana Menteri Tatarstan Alexey Pesoshin, Timbalan Menteri Tenaga Persekutuan Rusia Roman Marshavin, wakil kementerian dan jabatan republik serta ketua-ketua syarikat utama dalam industri pembinaan mesin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Rustam berkata lawatan Anwar ke Kazan memberi impak yang besar.
“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran anda. Lawatan anda memberi dorongan kepada kami untuk bekerja dengan lebih giat. Hubungan ini perlu diperkukuh dan ditingkatkan.
“Ia amat menggembirakan apabila satu delegasi yang berwibawa daripada kalangan perniagaan turut serta dalam forum itu bersama anda.
Anwar bersama delegasi Malaysia yang turut serta dalam lawatan itu
“Kazan Forum telah diadakan dalam status persekutuan selama tiga tahun dan menjadi platform utama untuk menjalin kerjasama antara Rusia dan negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
“Ia juga satu penghormatan besar bagi kami kerana anda turut serta dalam mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam (bagi forum ini),” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Anwar atas sokongan diberikan malah menegaskan Tatarstan amat mementingkan pembangunan kerjasama dalam rangka hubungan mesra Rusia-Malaysia.
Menurutnya, terdapat peningkatan dalam jumlah dagangan dua hala dan hubungan berkembang dalam sektor pertanian, minyak dan gas serta petrokimia, teknologi maklumat dan beberapa bidang lain.
“Republik kami merupakan wilayah perintis untuk pelaksanaan prinsip perbankan dan pembiayaan Islam (kerjasama) di Rusia.
“Kami juga melaksanakan banyak usaha dari segi membangunkan industri halal. Ini juga merupakan bidang yang berpotensi tinggi untuk kerjasama kita.
“Rakan-rakan kami dari Malaysia memberikan sokongan yang baik. Kami belajar daripada anda dan menggunakan amalan yang terbaik,” katanya.
Anwar ketika dalam rangka lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei lalu sebelum itu mengadakan pertemuan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Tatarstan terkenal dengan tapak UNESCO, Kompleks Sejarah dan Arkeologi Bolgar yang dahulunya merupakan ibu kota Volga Bulgaria dan kini menjadi lokasi ziarah bagi umat Islam serta khazanah berharga bagi mereka yang meminati sejarah.
Sumber kekayaan utama wilayah itu ialah minyak, dengan industri petrokimia yang kukuh.
Waktu Solat


17 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:12

