Feb 24, 2026 11AM
MAIPk: Zakat Perak Al Ridzuan urus kutipan zakat bermula 1 April
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengumumkan, urusan pembayaran zakat dan wakaf tunai bagi pelanggan di negeri tersebut akan dikendalikan oleh Zakat Perak Al Ridzuan Sdn Bhd (ZAPAR), sebuah syarikat milik penuh badan MAIPk bermula 1 April ini.
MAIPk dalam sebuah kenyataan berkata, urusan pembayaran zakat dan wakaf tunai melalui medium portal bank di dalam Malaysia bagi pelanggan di Perak akan dikreditkan ke akaun bank ZAPAR.
“Penubuhan ZAPAR dibuat menurut kuasa Majlis di bawah seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, perenggan 3(2)(a) Peraturan-Peraturan Zakat dan Fitrah Negeri Perak 2024 dan perenggan 27(2)(a) Enakmen Wakaf (Perak) 2015.

Penubuhan ZAPAR diputuskan ketika Persidangan Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak Kali Ke-230 pada 20 Disember 2024 yang lalu.
“Oleh itu, kami berharap agar semua pelanggan di setiap bank berkaitan yang melaksanakan tuntutan bayaran zakat dan bayaran wakaf tunai di negeri Perak dapat mengambil perhatian berkenaan perubahan institusi yang melaksanakan kutipan zakat dan wakaf tunai di negeri Perak,” katanya.
Antara bank yang terlibat adalah Maybank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Affin Islamic Bank Berhad, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank Berhad, Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agro Bank) dan Ambank Berhad.
Waktu Solat


25 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Syuruk
pada
07:24
















