Mar 11, 2026 11AM
MOSTI: NTIS laluan ekspres pengkomersialan teknologi halal tempatan
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) membenarkan syarikat tempatan menguji teknologi inovatif dalam persekitaran terkawal sebelum dikomersialkan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, NTIS turut dilihat setanding dengan program sandbox teknologi di negara lain misalnya Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Melalui inisiatif itu, beliau berkata kerajaan dapat menyediakan fasiliti kawal selia, di samping membantu pemadanan dana dan sokongan teknikal untuk mempercepat pengkomersialan teknologi tempatan.
“Tahap sokongan kerajaan kepada syarikat dan inovator tempatan adalah setanding dengan program regulatory sandbox di Arab Saudi dan UAE kerana inisiatif NTIS turut mempunyai fungsi yang sama, dengan fokus tambahan kepada pemadanan dana dan bantuan teknikal bagi tujuan pengkomersialan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mohammad Yusof berkata, antara kejayaan program itu adalah pembangunan aplikasi QuikHalal© oleh Holistics Lab Sdn Bhd– sebuah syarikat terbitan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – yang menawarkan penyelesaian pengauditan halal digital.
Jelasnya, aplikasi itu mampu mengurangkan tempoh pengauditan sehingga 50 peratus dan memastikan pematuhan terhadap piawaian manual halal terkini secara digital serta lebih kos efektif.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Tambah beliau, kerajaan juga membuka akses pasaran antarabangsa melalui kerjasama dengan badan pensijilan halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan teknologi Islamik tempatan berpeluang menembusi pasaran global.
Dalam sektor farmaseutikal pula, beliau berkata, syarikat tempatan Ain Medicare Sdn Bhd berjaya menghasilkan lebih 98 jenis produk farmaseutikal melalui Dana Pelaburan Strategik VentureTECH, dengan lebih 60 daripadanya diiktiraf halal dan dieksport ke pasaran Asia Barat.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkaitan perkembangan teknologi seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam ekosistem kewangan Islam, beliau menjelaskan aspek kawal selia Syariah serta instrumen kewangan berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.
“Antara perkembangan terkini ialah pelesenan dua bank digital Islam oleh bank pusat iaitu ION Digital Bank pada Mei 2024 dan KAF Digital Bank pada Disember 2024 bagi memperluas akses kewangan serta memperkukuh ekosistem kewangan Islam moden,” kata Mohammad Yusof.
Pada masa sama, beliau berkata platform NTIS juga direka sebagai laluan ekspres untuk membantu syarikat pemula mengatasi halangan birokrasi melalui pelepasan kawal selia, kerjasama merentasi agensi serta penyediaan pembiayaan dan sokongan teknikal.
“Setakat ini sebanyak 142 projek telah diluluskan di bawah NTIS dengan kira-kira RM50 juta pembayaran disalurkan berdasarkan pencapaian projek masing-masing. Daripada jumlah itu, 14 penyelesaian teknologi telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan nilai eksport lebih RM1.2 bilion,” katanya.
Waktu Solat


12 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
06:03
















