Mar 31, 2026 5PM
Masjid Glow Up Zakat Selangor indahkan Masjid Kampung Nakhoda sempena Syawal
Menjelang Syawal, penduduk Kampung Nakhoda berpeluang menyambut perayaan Aidilfitri dalam masjid yang bersih, selesa dan meriah seusai usaha Masjid Glow Up oleh Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dan Kinihalal pada bulan Ramadan lalu.
Inisiatif itu merupakan komitmen berterusan Zakat Selangor dalam mendekati ahli kariah, khususnya golongan asnaf bagi merapatkan jurang komunikasi antara mereka, selain memupuk budaya berkomuniti merentasi lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Jabatan Perkhidmatan Cawangan lembaga itu, Mohd Ariff Mohd Shariff, pemilihan Masjid Nakhoda adalah berdasarkan keperluan kritikal kawasan tersebut yang mencatatkan bilangan penerima bantuan yang tinggi.
"Salah satu sebab masjid ini dipilih adalah kerana kariah ini mempunyai bilangan asnaf yang tertinggi di daerah sini, iaitu sekitar 500 ke 600 orang.
“Selain itu, ahli kariah di sini sangat aktif dan sentiasa memberi kerjasama erat kepada kami dalam usaha menyantuni mereka yang memerlukan bantuan zakat," katanya.

Zakat Selangor turut mendirikan reruai bagi memudahkan pengunjung Masjid Kampung Nakhoda untuk membayar zakat sepanjang gotong-royong berlangsung.
Operasi 7 hari seminggu sepanjang Ramadan
Menurut Ariff, selain aktiviti pembersihan dan mencantikkan fasiliti masjid, Zakat Selangor atau dahulu dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor itu turut membuka kaunter perkhidmatan bergerak bagi memudahkan urusan orang ramai.
Katanya, kaunter tersebut menyediakan khidmat pertanyaan bantuan, permohonan zakat, serta urusan pembayaran zakat bagi mereka yang ingin menunaikan kewajipan.
Bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan sepanjang bulan al-Mubarak nanti, Zakat Selangor mengumumkan bahawa 19 cawangan mereka di seluruh Selangor akan beroperasi setiap hari tanpa cuti.
Mengakhiri bual bicara, Ariff menyeru agar masyarakat tidak teragak-agak untuk tampil mendapatkan bantuan sekiranya memerlukan.
"Harapan kami agar program seperti ini dapat diadakan lebih kerap untuk mendekati komuniti tanpa rasa kekang.
“Sepanjang Ramadan ini, cawangan kami akan dibuka 7 hari seminggu.
“Jadi, bagi mereka yang memerlukan bantuan, janganlah rasa rendah diri untuk hadir ke cawangan Zakat Selangor atau merujuk kepada amil kariah di sekitar anda,” katanya.
Waktu operasi cawangan Zakat Selangor sepanjang Ramadan adalah bermula jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang (Isnin hingga Jumaat), manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kaunter akan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Zakat Selangor mengambil peluang beramah mesra dan berhubung dengan penduduk Kampung Nakhoda ketika Masjid Glow Up.
Bukan sekadar gotong-royong
Menyentuh mengenai impak aktiviti fizikal tersebut, Arif menekankan bahawa kebersihan adalah cerminan kerohanian buat jemaah.
Katanya, manfaat utama gotong-royong itu adalah dapat mencantikkan masjid dan menjaga kebersihan bersama.
“Ini bertepatan dengan hadis yang menyatakan kebersihan itu separuh daripada iman.
“Apabila persekitaran bersih, ia secara tidak langsung menunjukkan peningkatan iman kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Jasmine Food Corporation, Kow Ai Nah berkata, pihaknya menaja barangan keperluan makanan bagi menyokong program berkenaan.
Menurut beliau, pemilihan ketupat dan santan bertepatan dengan suasana Ramadan dan Syawal.
“Kita menaja 20 kampit beras; 10 kilogram jenama Jasmine Super 5, 10 karton ketupat dan lima karton santan.
“Ketupat dan santan memang hidangan yang digunakan untuk meraikan Ramadan dan Raya. Ia juga produk baharu kami dan kami harap komuniti boleh mencubanya,” katanya.

Usaha yang memakan masa hampir satu hari itu memerlukan kerjasama tenaga kerja dari pelbagai pihak.
Beliau menegaskan komitmen syarikat dalam memastikan akses makanan berkualiti kepada masyarakat.
Tambahnya lagi, semua produk keluaran syarikat adalah halal dan sesuai untuk kegunaan umat Islam.
“Harapan kami di Jasmine Food adalah memastikan setiap komuniti mendapat makanan yang sihat dan dapat membantu mereka sepanjang Ramadan. Kami percaya makanan boleh menyatukan orang ramai.
“Produk-produk kami semuanya halal. Sempena Ramadan dan Raya ini, kami memastikan makanan yang disumbangkan halal dan sesuai untuk masjid serta komuniti,” katanya.
Beliau menyifatkan penganjuran program gotong-royong menjelang Ramadan sebagai masa yang tepat untuk menyumbang.
“Ini masa yang sesuai untuk kami datang menaja kerana produk kami dapat membantu komuniti menikmati juadah bersama sepanjang Ramadan dan Raya,” katanya.
Program gotong-royong yang dianjurkan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 107 ahli jawatankuasa (AJK) dan sukarelawan terlibat dalam usaha membersih dan memperindah kawasan masjid sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Pelbagai peralatan pembersihan disampaikan bagi kegunaan berterusan pihak Masjid Kampung Nakhoda.
Setiausaha Masjid Kampung Nakhoda, Kapten Hilman Nordin yang juga bertanggungjawab menjaga kebajikan masjid memaklumkan bahawa fokus utama program kali ini adalah kerja-kerja pembersihan menyeluruh termasuk mencuci tandas serta pengurusan sisa buangan.
“Keperluan utama adalah bahan pencuci dan peralatan seperti berus, penyapu, mop serta karung guni untuk memudahkan kerja pengumpulan dan pembuangan sampah,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya terdapat lebihan barangan sumbangan, ia akan disimpan dan digunakan untuk aktiviti akan datang bagi mengoptimumkan perbelanjaan masjid.
Program berkenaan melibatkan 30 AJK masjid, tujuh wakil AJK Gombak, 20 muslimat masjid dan 50 muslimin, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 107 orang. Muslimat yang terlibat merupakan kariah tetap masjid tersebut.
Hilman turut merakamkan penghargaan kepada para penaja yang menyumbang barangan keperluan kerana ia secara langsung membantu mengurangkan kos operasi masjid, khususnya bagi penyediaan makanan dan kerja-kerja pembersihan.
Beliau berharap lebih banyak syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bekerjasama pada masa akan datang bagi mengimarahkan aktiviti masjid, terutamanya dalam usaha memastikan kebersihan dan keselesaan jemaah sepanjang bulan Ramadan.
“Secara jujurnya, program gotong-royong hari ini mencapai objektifnya. Kami amat kagum dengan kehadiran para penaja dan ahli kariah yang turun padang membantu,” katanya.
Program Masjid Glow UP 2.0 diteruskan lagi ke Surau Persaudaraan Islam Kelana Jaya dengan pelbagai aktiviti bagi menceriakan suasana menjelang Ramadan.
Waktu Solat


01 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:55

















