Back To Halal News

Apr 10, 2026 12PM

Raia Hotel tembusi segmen resort dengan pembukaan Raia Beach Resort Port Dickson

UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn Bhd, anak syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd, merasmikan pembukaan Raia Beach Resort Port Dickson yang menjadi resort di pesisiran pantai pertama jenama itu, baru-baru ini.

 

Pengarah syarikat itu, Datuk Mohd Shukri Hussin berkata, pelancaran itu menjadi pencapaian yang bermakna dalam usaha mengukuhkan kehadiran mereka dalam landskap perhotelan dan pelancongan di Malaysia. 

 

“Pembukaan Raia Beach Resort Port Dickson bukan sekadar melancarkan hartanah baharu, tetapi usaha berterusan kami untuk mengangkat industri pelancongan dan hospitaliti tempatan,” katanya. 

 

Untuk rekod, RAIA ialah jenama hospitaliti tempatan yang membangunkan dan mengurus rangkaian hotelnya sendiri, setanding dengan pemain antarabangsa. Sebahagian daripada hotel dan konvensyen milik jenama itu juga diiktiraf halal JAKIM.


(dua dari kiri) Datuk Mohd Shukri Hussin dan Datuk Othman Semail ketika pelancaran Raia Beach Resort Port Dickson, 1 April lalu. (kredit foto: Raia Hotels)


Pembangunan resort itu dijayakan melalui kerjasama strategik dengan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, mencerminkan visi bersama untuk membuka potensi pelancongan Port Dickson sambil menyumbang kepada ekonomi tempatan.

 

Shukri merasmikan majlis pelancaran resort itu dengan Pengarah UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn Bhd, Datuk Othman Semail dan wakil-wakil daripada Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad selaku pemilik hartanah tersebut, pada 1 April lalu.

 

Sementara itu, Othman menekankan perkembangan Raia Hotel di Port Dickson mencerminkan komitmen syarikat itu dalam menawarkan pengalaman bercuti yang berkualiti dan inklusif  di destinasi-destinasi popular, selari dengan nilai jenama itu— Hotel Untuk Semua. 

 

Perluasan syarikat itu menandakan perkembangan strategik mereka dalam segmen resort dan rekreasi, melengkapkan portfolio mereka di bandar dan hotel konvensyen seperti Alor Setar (Kedah), Bayan Lepas (Penang), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Kinabalu (Sabah), and Kuching (Sarawak).


Fasiliti di Raia Beach Resort Port Dickson direka khas bagi memastikan pengunjung dapat melakar memori dan pengalaman yang bermakna. (kredit foto: Raia Hotels)


Resort itu mengambil masa sekitar satu tahun bagi kerja-kerja mengubahsuai dan menaik taraf, sebelum dibuka meliputi 62 buah bilik yang berdekatan dengan persekitaran pesisiran pantai, sesuai untuk percutian bersama keluarga, rakan-rakan atau bersendirian. 

 

Ia terletak sepanjang pesisir pantai Teluk Kemang yang memudahkan akses buat pengunjung untuk melakukan aktiviti riadah dan menenangkan fikiran, jauh dari kesibukan dan komitmen di bandar. 

 

Resort itu turut mempunyai fasiliti dalaman seperti kolam renang yang baru dinaik taraf dan direka khusus untuk orang dewasa dan kanak-kanak, di samping kawasan-kawasan lapang yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti berkumpulan atau berjalan-jalan. 

 

Pengunjung turut dapat menikmati persekitaran yang merimbun dengan flora dan kehijauan, menawarkan suasana yang lebih santai dan peribadi.

 

Dengan suasana tepi pantai dan tawaran mesra keluarga, Raia Beach Resort Port Dickson bersedia menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung domestik dan antarabangsa yang mencari percutian santai di tepi laut.

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

11 Apr 2026

Waktu solat berikutnya,

Imsak

pada

05:51

mosque
imsak

Imsak

05:51:00

fajr

Fajr

06:01:00

syuruk

Syuruk

07:08:00

dhuhr

Dhuhr

13:17:00

asr

Asr

16:26:00

maghrib

Maghrib

19:22:00

isha

Isha

20:31:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

pibbhiphip

Media Partner for

WitexHei 2023Hei 2023Malaysia Showcase