Feb 12, 2026 5PM
Sindiket sasar golongan asnaf, 2,000 terjerat
Kira-kira 2,000 asnaf di Selangor diperalat dan dijadikan keldai akaun susulan taktik penipuan sindiket yang memanipulasi golongan rentan berdepan kesempitan hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari menjelaskan bahawa hasil semakan dan maklumat institusi kewangan mendapati sebahagian penerima bantuan mengalami gangguan pembayaran selepas akaun bank mereka disenarai hitam.
“Mereka (asnaf) ini lebih senang dimanipulasi ekoran kesempitan wang. Ada yang sanggup menerima tawaran bayaran berjumlah RM100 setiap bulan dengan hanya serahkan kad pengenalan, buka akaun bank serta tetapkan kata laluan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) sebelum diserahkan kepada sindiket.
“Biasanya mereka akan tersedar ketika mahu menerima bantuan bulanan. Pihak bank akan memaklumkan bayaran bantuan tidak lulus kerana akaun telah disenarai hitam,” katanya dipetik Bernama.
Menurut beliau, kegagalan transaksi bantuan mula dikesan apabila institusi perbankan memaklumkan akaun segelintir penerima disenarai hitam kerana terbabit dalam isu penipuan kewangan.

Ada yang sanggup menerima tawaran bayaran berjumlah RM100 setiap bulan dengan hanya serahkan kad pengenalan
“Apabila ditanya kepada bank, didapati akaun disenarai hitam sebab ada kes. Apabila kita lihat kes-kes itu didapati ramai pula asnaf kita menjadi keldai akaun. Sindiket pula beranggapan ini adalah peluang untuk buat duit.
"Oleh itu, Zakat Selangor terpaksa memikirkan kaedah lain sekiranya masih ada akaun asnaf yang tidak boleh diakses bagi memastikan bantuan boleh diserahkan dengan cepat," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Khaidzir berkata, status disenarai hitam tidak menafikan kelayakan asnaf untuk menerima zakat.
Beliau berkata, sebaliknya menuntut kaedah penyaluran alternatif agar bantuan berterusan tanpa melanggar peraturan perbankan.
Susulan itu, menurutnya, Zakat Selangor akan mempergiat program literasi kewangan, kempen kesedaran anti-scam serta mekanisme penyaluran bantuan alternatif bagi memastikan kebajikan asnaf terus dipelihara di samping memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak bank serta agensi berkaitan.

Mohd Khaidzir Shahari menjelaskan sebahagian penerima bantuan zakat mengalami gangguan pembayaran berikutan masalah akaun bank yang disenarai hitam
Sebelum itu, Mohd Khaidzir mengumumkan Zakat Selangor tahun ini mengagihkan bantuan kepada lebih 78,000 ketua keluarga asnaf yang melibatkan jumlah keseluruhan mencecah hampir RM36 juta bermula 1 Ramadan bersamaan 19 Februari di seluruh negeri berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata, Zakat Selangor menyasarkan peningkatan kutipan zakat fitrah sebanyak lima peratus tahun ini didorong usaha penambahbaikan sistem kutipan sedia ada secara berperingkat termasuk perluasan penggunaan aplikasi digital serta pengukuhan rangkaian petugas di masjid dan surau bagi memastikan kelancaran urusan pembayaran.
“Kita menyasarkan peningkatan kira-kira lima peratus berdasarkan prestasi kutipan 2024 yang merekodkan RM41 juta manakala pada 2025 sebanyak RM43 juta,” katanya.
Bagi melancarkan urusan kutipan sepanjang Ramadan, Zakat Selangor memperkukuh operasi lapangan dengan melantik 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) di 460 masjid dan surau terpilih.
Menurut Mohd Khaidzir, kecekapan kutipan turut dipertingkatkan menerusi penggunaan aplikasi mudah alih sepenuhnya di lima daerah utama Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat, dan Gombak manakala daerah lain masih secara hibrid.
Selain itu, 19 cawangan Zakat Selangor akan dibuka setiap hari termasuk cuti umum bagi memudahkan akses kepada pembayar zakat.
Waktu Solat


13 Feb 2026
Waktu solat berikutnya,
Syuruk
pada
07:26
















