May 22, 2025 9AM
Malaysia tuan rumah WITEX, WCAF 2025
Malaysia bakal menjadi tuan rumah untuk Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Sedunia (WITEX 2025) serta Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia (WCAF 2025) di Hotel Sunway Resort, Selangor pada 22 hingga 24 Ogos ini.
Acara anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) yang dahulunya dikenali sebagai Asia Islamic Tourism & Trade Expo (AITEX), itu merupakan edisi ketiga WITEX manakala julung kali buat WCAF.
Penjenamaan semula ekspo itu mencerminkan pertumbuhan pesat sektor pelancongan Islam dan perdagangan global, selari dengan identiti baharunya yang bertaraf antarabangsa.
Sesi tandatangan MOU antara MATA dan Kembara Food bagi menyediakan RTE kepada pelancong Muslim yang menikmati makanan Halal
MATA melalui sebuah kenyataan berkata, acara tersebut akan disertai oleh lebih 150 reruai pameran, negara-negara luar termasuk negara anggota ASEAN, BRICS serta pemain industri pelancongan antarabangsa.
Pengerusi World Islamic Tourism Awards (WITA), Dr. Izyan Diyana berkata, penganjuran WITEX dan WCAF kali ini memupuk kerjasama dan pertumbuhan bersama selain meraikan pencapaian.
“Anugerah Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia telah menjadi penanda aras kecemerlangan, mendorong individu dan organisasi untuk melangkaui sempadan inovasi dan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.
CEO WITEX 2025, Datuk Jeffri Sulaiman
Antara segmen yang akan ditampilkan adalah Persidangan Pelancongan Islam Dunia pada 22 hingga 23 Ogos, Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (24 Ogos), Sesi Rangkaian Perniagaan B2B dan Pelaburan Pelancongan Asia iaitu segmen utama ekspo itu untuk menarik pelaburan bagi projek pelancongan Islam di Asia, Timur Tengah dan Afrika.
Penganjuran segmen-segmen berprofil tinggi itu bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam pelancongan antarabangsa dan kerjasama silang budaya antara negara-negara terlibat.
WITEX dan WCAF turut mengadakan program kebudayaan yang menarik untuk pengunjung awam seperti Pavilion Malaysia, persembahan kebudayaan, promosi percutian dan pelancongan halal, cabutan bertuah serta baucar penerbangan.
Editor Eksekutif Kinihalal, Syilda Ismail bersama CEO WITEX 2025, Datuk Jeffri Sulaiman
Menurut kenyataan itu, penutup tirai minggu berkenaan ialah Majlis Anugerah Pelancongan dan Perdagangan Sedunia Islam (WITA) 2025, iaitu sebuah acara gala berprestij berkonsep ‘tali leher hitam’ yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pelancongan, perdagangan dan diplomasi budaya Islam.
“WCAF 2025 melengkapkan usaha kami dalam memperluas visi antarabangsa kami dengan menyatukan budaya dan perdagangan di bawah satu bumbung yang meriah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Projek WITEX 2025, Datuk Jeffri Sulaiman melalui sebuah kenyataan.
Bersempena penganjuran WITEX dan WCAF tahun ini juga, Kinihalal berpeluang menjadi rakan media yang menyiarkan perkembangan ekspo antarabangsa itu.
Presiden MATA, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun (dua dari kiri)
Presiden MATA, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata, WITEX 2025 merupakan sebuah jambatan perdagangan, kepercayaan bertaraf global dan bukan sekadar pameran semata-mata.
“Ia (WITEX 2025) mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam ekonomi pelancongan Islam dan kesiapsiagaan negara menyambut dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
WITEX 2025 dan WCAF 2025 turut disenaraikan sebagai program rasmi sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan menjadi sebahagian daripada persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penganjuran itu mendapat sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Selangor Tourism, Etiqa Takaful, Batik Air Malaysia dan Housecoff.
Waktu Solat


22 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:21

