Jul 23, 2025 8AM
Selangor tolak ‘i-Mesra’ buat perakuan halal, berisiko kelirukan pengguna
Kerajaan Selangor bertegas menolak sistem ‘i-Mesra’ yang berfungsi sebagai platform pengesahan dan perakuan bahan mentah halal dan patuh syariah untuk premis makanan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, perakuan halal dibuat melalui sistem itu berisiko mengelirukan pengguna, khususnya umat Islam.
Beliau berkata, sistem itu tidak menjamin produk dan perkhidmatan yang disediakan patuh akan piawaian dan standard halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Kita tegaskan hanya Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan pihak berkuasa berwibawa iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) saja yang diiktiraf sebagai bukti perakuan halal.
"Kerajaan negeri menggesa semua pengusaha dan pemilik premis di seluruh Selangor mengelak membuat pengesahan atau pengisytiharan mengelirukan serta memastikan sebarang pengesahan halal hanya dibuat selepas memperoleh pensijilan halal yang diiktiraf daripada pihak berkuasa berwibawa," katanya dalam kenyataan.
Dr Mohammad Fahmi Ngah menyeru umat Islam untuk merujuk badan berkuasa yang sewajarnya jika terdapat kesangsian. (kredit foto: Malaysiakini)
Tambah Dr Fahmi, tindakan boleh diambil ke atas pihak yang menyalahgunakan logo halal atau mengemukakan takrifan halal yang mengelirukan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Katanya, kerajaan negeri komited dalam memastikan umat Islam di Selangor dapat membuat pilihan yang diyakini bersih, suci dan halal, selaras hukum syarak dan undang-undang berkuat kuasa.
"Sebarang aduan atau maklumat berkaitan penyalahgunaan logo halal tanpa kebenaran boleh disalurkan melalui Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 03-5514367 dan 011-55820212.
"Aduan juga boleh di e-mel kepada [email protected] atau [email protected]," katanya.
Waktu Solat


27 Jul 2025
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:45

