Nov 01, 2024 7PM
Konsert 5 Rukun Tunda!
Rabbani, Hafiz Hamidun, dan Mawi bakal melakukan persembahan di Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) sebagai tanda solidariti terhadap situasi rakyat Palestin di Gaza
Lambakan hiburan sekular percuma hampir setiap minggu di kawasan Lembah Klang sekaligus memberi cabaran besar buat penganjuran Konsert Rukun 2.0 (Perjuanganmu) yang sepatutnya berlangsung di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor, esok.
Menurut Pengarah Urusan MAC Training Centre, Samirah Hambali, pembeli tiket pada kebiasaannya lebih tertarik untuk menonton konsert tanpa perlu membelanjakan wang ringgit untuk mencari hiburan di hujung minggu.
Justeru, Konsert Rukun 2.0 terpaksa menunda konsert ke tarikh baru iaitu pada 18 Januari depan serta lokasi persembahan di Nilai Indoor Stadium @ N9 Arena, Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai peminat khususnya daripada golongan pelajar.
“Kami berpindah ke kawasan Nilai kerana lokasi itu jauh sedikit daripada Lembah Klang. Ia sejajar dengan fokus kami untuk menarik lebih ramai pembeli tiket dari kawasan berkenaan.
Pentingnya untuk golongan artis menjaga nilai eksklusif sebagai penghibur- Samirah
“Kami juga menggantikan dengan tempat lebih besar serta bersedia memberikan harga tiket yang jauh lebih murah kerana golongan yang gemar menonton konsert berunsur Islamik terdiri daripada mereka yang sudah berkeluarga.
“Selain itu, fokus kami juga kepada pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi yang berada di sekitar kawasan berkenaan untuk hadir ke konsert,” katanya.
Samirah yang pernah dua kali berpengalaman menganjurkan konsert berunsur dakwah menekankan bahawa pentingnya untuk mana-mana selebriti mempunyai strategi untuk kekal relevan.
“Mereka perlu menjaga nilai eksklusif sebagai penghibur. Nilai itu berkurangan antaranya disebabkan persembahan boleh ditonton secara percuma,” katanya.
Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) menghimpunkan lima artis terkemuka tanah air, iaitu Rabbani, Mawi, Hafiz Hamidun, Khai Bahar, dan Inteam dalam usaha memastikan hiburan dakwah terus relevan dan menjadi medium penting untuk mendidik akhlak, menyebarkan ilmu Islam, serta mempertingkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Konsert di bawah pimpinan pengarah muzik, Radzali Mustaffa dan Kamrul Bahri itu dijangka berlangsung selama dua jam dengan menampilkan persembahan solo, duet, serta nyanyian beramai-ramai oleh artis sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Samirah berkata, setiap RM5 daripada jualan tiket konsert akan disalurkan kepada rakyat Palestin bagi meringankan beban mereka yang berdepan penderitaan.
Katanya, selain berhibur, pengunjung juga boleh beramal melalui konsert ini kerana menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membantu saudara mereka atas nama kemanusiaan.
“Kisah Palestin masih belum selesai. Penderitaan mereka begitu menyayat hati dan kadang-kala mungkin ada di antara kita yang mudah terlupa.
“Hadirlah pada konsert ini dan ingatlah tanggungjawab kita untuk mempertahankan bumi Palestin,” katanya.
Pengarah muzik Radzali Mustaffa dan Kamrul Bahri
Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) dibantu rakan strategik, Cinta Gaza Malaysia, rakan radio, Zayan 104.9 FM, tiket rasmi, Ubertickets.Asia, penaja makanan rasmi, Sidah Catering Services (M) Sdn Bhd, PPUM Care dan Rehlah International Travel & Tours serta rakan penaja lain iaitu Ali Maju dan Inteam Marketing.
Tiket kini dijual dengan harga serendah RM70 hingga RM200 dan boleh didapati melalui pautan: https://5rukun2perjuanganmu.ubertickets.asia/
Pembeli yang mendapatkan tiket awal berpeluang menghadiri sesi meet and greet bersama artis yang terlibat.
Namun, sekiranya pembeli ingin menuntut semula pemulangan wang, (refund) boleh hubungi ubertickets.asia.
Penganjuran acara berkenaan adalah kesinambungan dari kejayaan Konsert 5 Rukun yang diadakan pada tahun sebelum ini dengan menampilkan konsep Lima Rukun Islam.
Konsert 5 Rukun 2.0 (Perjuanganmu) kali ini membawa tema sejarah perjuangan Rasulullah SAW serta pemimpin Islam yang menegakkan syiar Islam.
Waktu Solat
06 Nov 2024
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:00