Mar 02, 2026 12PM
Penetapan 1 Syawal bergantung kepada cerapan anak bulan, bukan takwim semata-mata
Jabatan Mufti Negeri Perak menjelaskan, penentuan hari pertama Syawal bergantung kepada beberapa faktor termasuk kaedah rukyah dan hisab serta faktor cuaca dan keadaan atmosfera, bukan berlandaskan takwim semata-mata.
Penjelasan itu dibuat berhubung kerisauan masyarakat terhadap penetapan tarikh hari raya puasa yang tular berpotensi jatuh pada hari Jumaat, berbeza dengan takwim tahunan yang menyatakan hari Sabtu sebagai jangkaan awal.
Jabatan itu berkata, takwim hijri yang diedarkan untuk rujukan umum adalah disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan, namun penetapan rasmi 1 Syawal masih tertakluk kepada proses rukyah hilal (anak bulan) pada petang 29 Ramadan.
“Sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam.

Selain menentukan tarikh berpuasa dan menyambut 1 Syawal, falak adalah disiplin penting dalam menentukan waktu solat, arah kiblat dan takwim Hijriah. (kredit foto: Malaysiakini)
“Secara prinsip falak, apabila hilal berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, secara umumnya ia mempunyai potensi untuk dilihat.
“Namun, dalam konteks kita di Malaysia, tahadap kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa paramater teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) serta jarak antara bulan dan matahari (elongasi),” katanya dalam sebuah kenyataan.
Tambahan jabatan itu, keadaan cuaca seperti awan tebal, jerebu atau gangguan atmosfera turut menjadi cabaran utama dalam proses cerapan anak bulan.
Katanya, walaupun secara hisab hilal berpotensi untuk dilihat sungguhpun ia tidak memenuhi kriteria, faktor cuaca boleh menghalang penampakan sebenar, menunjukkan keputusan penetapan tidak hanya bergantung kepada data kiraan, tetapi juga realiti di lapangan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertindak sebagai jurucakap rasmi kepada Majlis Raja-Raja dalam perkara yang diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia. (kredit foto: Malaysiakini)
Jabatan Mufti Negeri Perak turut menyentuh perbandingan hari pertama Syawal pada 2022, menjelaskan bahawa parameter hilal setiap tahun adalah berbeza dan keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan sebenar, pengesahan ditetapkan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
“Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi awal berhubung tarikh Hari Raya, menunggu pengumuman rasmi pihak bertanggungjawab dan bertenang serta memahami perbezaan jangkaan adalah perkara yang boleh berlaku dalam disiplin falak.
“Pihak Jabatan Mufti Negeri Perak juga menggalakkan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal, demi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.
“Semoga Allah SWT memudahkan urusan umat Islam dalam menyempurnakan Ramadan dan menyambut Syawal dalam suasana penuh ketenangan dan kesyukuran,” katanya.
Waktu Solat


03 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Syuruk
pada
07:23













