Mar 09, 2026 1PM
‘Suasana Raya’ Ernie Zakri, Syamel tarik pelancong Muslim ke Hong Kong
Pasangan penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel mengejutkan peminat dengan pelancaran video muzik berjudul Suasana Raya yang diwarnai latar belakang bandar Hong Kong serta sarat dengan nilai kekeluargaan.
Projek itu adalah kerjasama strategik antara Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) dan pasangan tersebut dalam mengangkat negara itu sebagai antara destinasi pelancongan mesra Muslim terbaik untuk dilawati.
Ernie Zakri dalam sebuah kenyataan berkata, mereka memilih Hong Kong bagi penggambaran video muzik tersebut kerana ia gamat dengan tenaga, budaya dan kepelbagaian.
“Ini kali pertama kami menjalani penggambaran di Hong Kong, dan kehadiran suami serta anak kami menjadikannya lebih bermakna.
“Saya teruja kerana perjalanan di sana sangat lancar. Mencari makanan halal mudah, dan kemudahan untuk menunaikan solat dengan selesa membuatkan kami berasa tenang walaupun jauh dari rumah,” katanya.

Ernie Zakri dan Syamel sekeluarga ketika penggambaran video muzik di Masjid Kowloon, Hong Kong. (kredit foto: HKTB)
Syamel turut berkongsi, mereka sekeluarga menemui dan mengalami sendiri sisi mesra Muslim bandar itu disebalik lampu neon dan bangunan pencakar langit yang biasa diketahui orang awam.
“Penggambaran video muzik ‘Suasana Raya’ di Hong Kong benar-benar membuka mata kami sekeluarga. Sebagai seorang suami dan bapa, keutamaan saya adalah keselesaan keluarga, terutama dari segi makanan dan kemudahan solat.
“Saya kagum dengan akses kepada makanan halal– daripada dim sum autentik hingga hidangan tempatan – kami tidak rasa terlepas apa-apa pengalaman kulinari. Projek ini bukan sekadar kerja, tetapi kenangan yang bermakna.
“Kami berharap peminat dapat melihat bahawa Hong Kong ialah destinasi yang sesuai untuk keluarga Muslim, termasuk ketika musim perayaan,” katanya.
Penggambaran video muzik itu memaparkan lokasi ikonik seperti Temple Street, Avenue of Stars, Ocean Park Hong Kong dan Ngong Ping 360, selain elemen pengalaman perjalanan sebenar merangkumi akses sajian halal, kemudahan solat dan pengalaman mesra Muslim.

Pengarah Serantau Asia Tenggara Lembaga Pelancongan Hong Kong, Liew Chian Jia. (kredit foto: HKTB)
Pengarah Serantau Asia Tenggara HKTB, Liew Chian Jia berkata pelancong Muslim kini celik digital dan menghargai pengalaman serta jaminan kemudahan, sekaligus menjadikan pelancongan mesra Muslim komitmen jangka panjang yang inklusif.
“Peranan kami bukan sahaja memperluas pilihan mesra Muslim, tetapi juga menyampaikannya secara kreatif dan relevan dari segi budaya melalui penceritaan, kempen inovatif dan kandungan yang menarik.
“Kami mahu maklumat ini mudah diakses dan difahami, supaya apabila pelancong Muslim mempertimbangkan Hong Kong, mereka yakin akan berasa dialu-alukan, disokong dan terinspirasi untuk meneroka,” katanya.
Penciptaan video muzik Ernie Zakri dan Syamel dengan kerjasama HKTB seiring dengan perkembangan konsisten ekosistem mesra Muslim Hong Kong, dengan negara itu mencapai sembilan pengiktirafan utama di Halal in Travel Awards 2025.
Antaranya ialah Destinasi Mesra Muslim Paling Berpotensi, Tempat Pertama Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Aksesibel (Bukan OIC), Tempat Kedua Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Wanita (Bukan OIC) dan Tempat Ketiga dalam kalangan destinasi Bukan OIC bagi Pelancongan Mesra Muslim.

Video muzik Raya pertama merangkumi penggambaran di Hong Kong menampilkan penyanyi popular Malaysia, Ernie Zakri dan Syamel Aqmal (kredit foto: HKTB)
Selain itu, Hong Kong turut dinobat Tarikan Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini: Ngong Ping 360 Limited; Hotel Mesra Muslim Terbaik: Kowloon Shangri-La, Hong Kong; Hotel Mesra Muslim Terbaik: The Mira Hong Kong; Pusat Konvensyen & Pameran Mesra Muslim Terbaik: Hong Kong Convention and Exhibition Centre.
Hong Kong juga diiktiraf atas Sumbangan Cemerlang kepada Landskap Sajian Halal Hong Kong oleh Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong
Bersandarkan pencapaian tersebut, Hong Kong terus memperluas tawaran mesra Muslim dengan 195 restoran diperakui halal dan milik Muslim yang merangkumi hidangan tempatan dan antarabangsa.
Manakala sebanyak 59 hotel menerima penarafan mesra Muslim Crescent Rated yang menyediakan kemudahan bersolat seperti ruang solat khusus, sejadah dan penunjuk arah kiblat serta menawarkan pilihan hidangan halal atas permintaan.
Tahun lalu, Hong Kong menerima lebih 49.9 juta pelawat iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun 2024, sementara Malaysia kekal sebagai pasaran utama Asia Tenggara dengan pertumbuhan ketibaan sebanyak 6 peratus tahun ke tahun.
Pertumbuhan itu mencerminkan minat berterusan dan hubungan perjalanan yang kukuh antara kedua-dua destinasi.
Waktu Solat


10 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:26













