Jun 15, 2026 2AM
PMX: Pemergian Umer Chapra kehilangan besar dunia kesarjanaan, keilmuan Islam
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ekonomi Islam terkemuka dunia, Profesor Dr Muhammad Umer Chapra yang disifatkan sebagai antara individu terbaik dalam dunia kesarjanaan dan keilmuan Islam.
Beliau berkata, pemergian Allahyarham menandakan pengakhiran kepada satu hayat yang diabadikan sepenuhnya kepada perjuangan menegak keadilan, memperkasakan pemikiran dan mengangkat martabat insan dengan ilmu sebagai wahana.
“Ketika ekonomi sering dipisahkan daripada pertimbangan akhlak dan kemanusiaan, almarhum tampil sebagai tokoh yang mengingatkan kita bahawa kemakmuran tanpa keadilan pada akhirnya tidak lebih daripada sekadar fatamorgana, indah pada pandangan, namun kontang makna dan kesejahteraan yang sebenar,” kata beliau seperti dilapor Bernama, semalam.

Anwar dalam sebuah hantaran di Facebook, semalam. (kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim)
Menurut Perdana Menteri, Allahyarham berjaya menghidupkan kembali tradisi intelektual Islam melalui tulisan dan pemikirannya yang menautkan kemajuan dengan insan, serta pertumbuhan dengan tanggungjawab kepada masyarakat.
Jelasnya, legasi tokoh itu akan kekal menjadi obor yang menerangi ikhtiar umat dalam membangunkan sistem ekonomi yang lebih adil, manusiawi dan bermaruah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, seorang sahabat dan sarjana yang mencerahkan,” kata Anwar.
Umer Chapra dikenali sebagai antara tokoh utama dalam bidang ekonomi Islam moden yang telah banyak membina sistem perbankan Arab Saudi dan menyumbang kepada pembangunan institusi kewangan pada peringkat global.
Beliau dilaporkan meninggal dunia pada usia 93 tahun.
Waktu Solat
15 Jun 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

