Bank Islam sokong kehidupan masyarakat dan khazanah laut Pulau Mabul
Bank Islam sokong kehidupan masyarakat dan khazanah laut Pulau Mabul
Published: Dec 28, 2022 1:52 AM
Updated: 1:56 AM

Pulau Mabul mungkin kurang dikenali daripada jirannya, Pulau Sipadan, namun ia terkenal sebagai antara destinasi selaman terbaik dunia. Jika anda mengkaji dan membaca tentang kehidupan marin tropika, hampir kesemua hidupan marin ini dapat anda lihat di perairan  pulau ini. Bukan satu dua sahaja malah berbagai-bagai! Anda boleh menjumpai penyu, Ikan Gobi (Fire Gobies), Ikan Bebaji Batik (Mandarin Fish), Unduk-unduk Ranting (Ghost pipefish), Ikan Langka (Frog Fish), Sotong Flamboyan (Flamboyant Cuttlefish), Sotong Kurita Cincin (Bue-ringed Octopus), Stargazer, kuda laut dan kepelbagaian nudibrankia. Di pulau ini juga terdapat pelbagai terumbu karang unik, termasuk spesis-spesis yang jarang ditemui di dunia.

Pulau Mabul sering dipaparkan sebagai pulau peranginan yang menjadi tumpuan penyelam dan pelancong dengan kejernihan air laut yang biru kehijauan seperti kaca, pelbagai terumbu karang dan hidupan marin yang unik serta pusat-pusat peranginan atas laut yang menarik.   Namun, di sebalik keindahannya, pulau yang seluas 20 hektar dengan lebih 2,000 penduduk yang terdiri daripada kumpulan etnik Bajau dan Suluk ini mempunyai sumber yang terhad serta pengurusan sisa yang lemah.

Hakikatnya, penduduk yang tinggal di sini hidup dalam keadaan serba daif. Ada di antara mereka memilih untuk hidup di atas bot, manakala bagi mereka yang hidup di darat, rumah-rumah dibina dengan begitu rapat sekali di dua buah perkampungan iaitu Kampung Mabul dan Kampung Samari Laut. Selain itu, terdapat juga rumah-rumah kayu yang dibina di atas kaki bajang di kawasan pesisir pulau berkenaan.

Taraf kehidupan masyarakat di sini amat mencabar, bukan sahaja kerana sistem pengurusan sisa serta sanitasi yang serba kekurangan, tetapi juga kemudahan pendidikan yang terhad selain bekalan air serta tenaga yang memerlukan perbelanjaan yang di luar kemampuan penduduk. Tambahan pula, kebanyakan penduduk di pulau ini menyara kehidupan mereka sebagai nelayan dengan menjual hasil tangkapan mereka kepada pusat peranginan berdekatan serta pelancong.

Kekangan yang dihadapi bukan sahaja menjejaskan sosioekonomi dan budaya penduduk, malah ia turut memberi kesan jangka panjang kepada biodiversiti kehidupan di sekeliling pulau ini. Malah, aktiviti manusia serta sikap tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak di sekitar Pulau Mabul kian menjejaskan keindahan dan keunikan pulau ini.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Sedulur (Sedulur), Abdul Rahman Nikman berkata, “Sokongan daripada pelbagai pihak diperlukan agar tiada lagi golongan rentan yang terlepas pandang akan hak dan kebajikan mereka.”

Terkesan dan prihatin dengan impak besar kitaran kehidupan di Pulau Mabul, Bank Islam menerusi cabang tanggungjawab korporat sosialnya, AMAL Bank Islam (AMAL) baru-baru ini telah menyantuni kumpulan paling terjejas dengan menganjurkan Inisiatif Kelestarian Mabul dengan kerjasama strategik bersama Sedulur, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam membantu golongan asnaf dan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Terbahagi kepada lima inisiatif dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM150,000, program ini mengetengahkan projek-projek yang mampu memberi impak positif jangka panjang menerusi penggunaan teknologi mesra alam yang menjimatkan dan mengurangkan pelepasan karbon, penyediaan sistem sanitasi yang teratur serta menyokong kesejahteraan komuniti dan ekonomi tanpa mengabaikan usaha pemeliharaan khazanah alam:

Membantu pembelajaran dan impak alam sekitar Sekolah Saudara Borneo

Sekolah Saudara Borneo, sebuah sekolah yang dibangunkan oleh Sedulur, memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak terpinggir di Pulau Mabul. Mereka belajar dalam ruang dan kemudahan yang amat terhad. Pihak sekolah perlu membelanjakan hampir RM500 sebulan bagi mengoperasikan generator diesel yang hanya boleh digunakan pada waktu-waktu tertentu. Ini menghimpit lagi suasana pembelajaran dan keselesaan murid-murid di situ.

Bagi meringankan beban yang ditanggung, Bank Islam menyumbang enam panel solar berkapasiti 2,000 kilowatt peak (kWp) kepada sekolah tersebut bagi membolehkan lampu-lampu LED dan kipas dipasang sepanjang kelas berlangsung, sekali gus meningkatkan keselesaan pelajar dan guru. Selain itu, empat buah tandas juga dibaik pulih bagi keselesaan warga sekolah.

Menaik taraf sistem sanitasi dan melindungi biodiversiti marin

Kediaman penduduk Pulau Mabul tidak dilengkapi dengan sistem sanitasi yang sempurna. Sebagai langkah mengurangkan risiko pencemaran laut dan masalah kesihatan terutamanya penyakit berjangkit dalam kalangan penduduk, Bank Islam menaik taraf kemudahan sistem sanitasi dengan membina tangki septik untuk tandas bagi 20 kediaman atas air terpilih sebagai usaha menjamin kebersihan persekitaran dan keselesaan penghuni.

Pada masa sama, bagi memastikan keberkesanan sistem sanitasi yang dipasang, Bank Islam bekerjasama dengan Reef Check Malaysia, sebuah NGO yang terlibat secara aktif dalam pengurusan dan usaha pemuliharaan terumbu karang, untuk melaksanakan aktiviti pemantauan berkala terhadap kesihatan terumbu karang, rumput laut dan biodiversiti hidupan marin di sekitar perairan Pulau Mabul. Aktiviti pemantauan ini bertujuan untuk merangsang pembiakan hidupan marin serta mengawal kadar pencemaran air yang memberi kesan langsung kepada sumber ekonomi penduduk terutamanya dalam sektor pelancongan dan perikanan.

Menjaga kesejahteraan komuniti

Demi perkembangan sosial komuniti Pulau Mabul, Bank Islam turut menaik taraf Dataran Komuniti di pulau tersebut termasuk pemasangan tiang-tiang lampu berkuasa solar yang bertujuan menyediakan ruang yang selesa untuk beriadah, bersukan serta penganjuran program-program kemasyarakatan penduduk.

Bagi merangsang ekonomi, khasnya bagi mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan, Bank Islam telah menyumbang barangan keperluan perniagaan seperti meja, kerusi dan lain-lain keperluan kepada peniaga-peniaga kecil yang layak. Di samping itu, peniaga yang terlibat juga diberi peluang untuk berniaga di pasar malam yang dianjurkan pada setiap minggu di Dataran Komuniti tersebut, seterusnya membantu dalam meningkatkan pendapatan mereka.

Tidak melupakan komuniti atas bot, Bank Islam turut menyampaikan tuala wanita mesra alam dan lampu mudah alih berkuasa solar demi kemudahan kehidupan mereka. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam berkata, Bank Islam berbesar hati kerana diberi ruang untuk mendekati dan menyediakan sokongan yang diperlukan masyarakat di Pulau Mabul. Saya berharap agar sumbangan kami ini dapat memberikan impak yang ketara dalam meningkatkan taraf hidup penduduk, pada masa sama menambah baik keindahan semulajadi di pulau ini.

“Inisiatif Kelestarian Mabul adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam menyokong projek-projek yang melindungi kesejahteraan masyarakat dan bumi. Selaras dengan visi Bank Islam sebagai sebuah bank yang mendahulukan kemakmuran untuk semua, kami akan terus menerapkan usaha pemerkasaan komuniti dan kelestarian dalam strategi perniagaan dan pada masa sama, memelihara khazanah alam,” tambahnya.

Kongsi Article Ini
Produced by
Channel Partner
Media Partner For
Social Media
2022 © All Right Reserved