Alliance Islamic Bank Lancar Program Pembiayaan Mikro Zakat yang Pertama di Malaysia
Alliance Islamic Bank Lancar Program Pembiayaan Mikro Zakat yang Pertama di Malaysia
Published: Dec 08, 2023 7:00 AM
Updated: 7:00 AM

Kuala Lumpur, 8 Disember 2023 – Alliance Islamic Bank Berhad (“Alliance Islamic Bank” atau “Bank”) hari ini melancarkan Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (“AZAM”), program dana sosial Islam pertama di Malaysia yang menggunakan dana zakat wakalah bagi membantu para usahawan mikro daripada kumpulan asnaf di negara ini. Program ini menggalakkan akses kewangan dan pembangunan yang saksama melalui penyediaan peluang pembiayaan yang mudah dan mampu dimiliki.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”), perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”) merupakan pemacu utama ekonomi Malaysia dengan menyumbang lebih satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (“KDNK”) Malaysia. Pilihan pembiayaan sesuai yang tersedia untuk golongan ini adalah terhad dengan anggaran jurang pembiayaan sebanyak RM90 bilion bagi PMKS sahaja. Pada tahun 2022, hampir RM4 bilion wang zakat telah dikumpulkan oleh pelbagai institusi zakat dan apabila digunakan secara strategik, wang ini dapat merapatkan jurang pembiayaan bagi pemilik perniagaan dalam segmen B40 yang kurang mendapat perhatian.

AZAM diperkenalkan sebagai satu pendekatan zakat secara inovatif yang mana ia diagihkan secara produktif melalui pembiayaan mikro. Ini dilaksanakan menerusi struktur dana pusingan dan merintis cara bagaimana zakat dimanfaatkan untuk membantu para usahawan mikro daripada golongan asnaf. Program ini menyasarkan usahawan mikro asnaf yang layak dan dana diagihkan menurut konsep Qard (pembayaran balik tanpa faedah atau keuntungan). Pembayaran balik kemudiannya akan disalurkan ke dalam tabung dana bagi mengembangkan impak program dengan menyokong usahawan asnaf lain yang layak serta memastikan kemampanan dana zakat. Sejajar dengan prinsip dan matlamat Pengantaraan Berasaskan Nilai (“VBI”), AZAM berhasrat untuk mewujudkan impak sosioekonomi yang lebih berkesan serta mencapai tujuan Shariah dengan memastikan pengagihan kekayaan secara efektif dan saksama.

“Zakat merupakan satu instrumen ekonomi yang membantu merapatkan jurang kekayaan dalam masyarakat melalui rangkuman kewangan. Berpandukan nasihat dan pandangan pakar, kami merintis program AZAM bagi mengagihkan zakat secara produktif kepada para usahawan mikro asnaf dan pada masa yang sama membantu mereka membangunkan sumber pendapatan yang mampan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” kata En. Rizal IL-Ehzan bin Fadil Azim, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank.

Alliance Islamic Bank turut menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (“AIM”) sebagai rakan strategik pembiayaan mikro dalam satu majlis yang disaksikan oleh Lembaga Zakat Selangor (“LZS”). AIM sebagai institusi pembiayaan mikro terbesar di Malaysia bertanggungjawab menyelia beberapa aspek AZAM termasuk membuat saringan penerima dan menyediakan infrastruktur untuk pengeluaran dan kutipan dana manakala LZS akan mengesahkan penerima asnaf.

“Kerjasama antara Alliance Islamic Bank dan AIM ini menyediakan model pembiayaan sosial inovatif yang patuh Syariah dan berupaya membantu kumpulan asnaf secara berkesan ke arah mencapai taraf hidup yang stabil seterusnya mengubah mereka menjadi pembayar zakat pada masa hadapan. Kami berharap Program ini menggalakkan lebih banyak kerjasama swasta-awam yang dapat meningkatkan taraf hidup kumpulan asnaf dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” kata En. Mohd Sabirin Mohd Sarbini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor.

Program ini menjadi peneraju kepada konsep yang diperkenalkan buat pertama kalinya dalam buku “Zakat dan Pembiayaan Mikro” yang diterbitkan oleh Bank pada bulan September 2022. Sumber maklumat daripada para pakar dalam pelbagai bidang, organisasi dan jawatankuasa telah disatukan, dibincangkan dan dirakam dalam buku ini. Kajian ini menjadi asas kepada cadangan Alliance Islamic Bank kepada Majlis Fatwa Selangor untuk membangunkan model pembiayaan sosial Islam ini. Kelulusan yang diberikan oleh Majlis Fatwa Selangor kemudiannya membuka jalan kepada pelancaran program AZAM.

Alliance Islamic Bank akan menanggung semua kos pengurusan yang berkaitan dengan program ini dan sebagai permulaan akan memperuntukkan sebanyak RM225,000 dana zakat wakalah melalui dana pusingan untuk memanfaatkan seramai 45 usahawan mikro asnaf. Usahawan mikro asnaf yang layak serta memerlukan modal kerja atau sokongan perbelanjaan modal boleh memperoleh dana pembiayaan mikro zakat sehingga RM5,000. 

Bagi terus membantu usahawan mikro asnaf, program AZAM dilengkapkan dengan modul peningkatan kemahiran yang merangkumi bidang pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran. “Kerjasama ini membolehkan kami membantu para usahawan mikro berpendapatan rendah untuk meningkatkan kemahiran perniagaan masing-masing menerusi sesi latihan dan ‘mentoring’,” kata En. Mohamed Shamir Abdul Aziz, Pengarah Urusan AIM.

Program AZAM menyokong usaha berterusan Alliance Islamic Bank untuk memperkasakan masyarakat melalui pendidikan, peningkatan kemahiran, pembiayaan dan menggalakkan kecelikan kewangan. Alliance Islamic Bank berhasrat untuk membawa kesan positif kepada masyarakat dengan memajukan pembangunan sosioekonomi melalui aktiviti sokongan perniagaan. Antara program yang ditawarkan ialah Program Pemerkasaan Ekonomi yang menggandakan pendapatan 50 orang usahawan mikro B40. SocioBiz pula sebuah platform pembiayaan sosial patuh Syariah yang dilancarkan pada 2019 yang berjaya mengumpul hampir RM1.7 juta dan memanfaatkan seramai 1,700 usahawan mikro asnaf dan penerima.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank, sila layari https://www.alliancebank.com.my/Islamic/zakat-microfinancing

Kongsi Article Ini
Produced by
Channel Partner
Media Partner For
Social Media
2022 © All Right Reserved