LZS Sediakan Peruntukan Zakat RM33.4 Juta Biayai Persiapan Persekolahan Anak-anak Asnaf Fakir & Miskin Serta Mualaf
LZS Sediakan Peruntukan Zakat RM33.4 Juta Biayai Persiapan Persekolahan Anak-anak Asnaf Fakir & Miskin Serta Mualaf
Published: Feb 09, 2024 4:14 AM
Updated: 4:14 AM

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan peruntukan agihan zakat sebanyak RM33,414,415 (RM33.4 juta) bagi membiayai persiapan persekolahan 70,283 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi 2024.

Ia meliputi semua peringkat umur pelajar iaitu pra sekolah seramai 1,235 orang, Sekolah Rendah Kebangsaan/Sekolah Rendah Agama (32,708 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Agama (36,340 orang).

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Mufti Selangor, Dato' Setia Profesor Madya Dr. Anhar Opir dalam satu majlis yang diadakan di sini pada hari ini.

Pemberian bantuan persekolahan itu merupakan bantuan rutin yang diagihkan setiap tahun bertujuan meringankan beban ketua keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS, terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dan menampung kos yuran untuk anak-anak mereka.

Setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima bantuan kelengkapan persekolahan pada kadar RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama pula pada kadar RM150.00 seorang. Manakala bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula akan menerima sebanyak RM200.00.

Kelengkapan persekolahan ini meliputi pakaian seragam, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya. Setiap pelajar diwajibkan untuk membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya untuk membeli keperluan yang lain berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan.

Penerima bantuan boleh mengunjungi mana-mana pasaraya ditetapkan oleh LZS mengikut daerah masing-masing untuk membuat penebusan berdasarkan kadar bantuan yang diterima, bermula 10 Februari hingga 10 Mei 2024.

Manakala penerima bantuan dari daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang boleh menebus kelengkapan persekolahan tersebut secara dalam talian di www.terasds.com. Barangan keperluan persekolahan akan dihantar terus ke rumah asnaf melalui perkhidmatan kurier yang disediakan. Ia merupakan kerjasama LZS dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Selain itu, setiap pelajar turut menerima bantuan yuran persekolahan di antara RM100 hingga RM250 seorang, bergantung kepada tahap persekolahan mereka. Manakala bantuan tambahan berjumlah RM100.00 akan disalurkan kepada semua pelajar bagi menampung keperluan persekolahan lain.

Pemberian bantuan ini disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu.

Ini bermakna secara puratanya, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.

Kongsi Article Ini
Produced by
Channel Partner
Media Partner For
Social Media
2022 © All Right Reserved