SHAH ALAM, 21 Februari 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan peruntukan zakat sebanyak RM32,615,896.00 (RM32.6 juta) bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi 2023.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.
Pemberian bantuan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan beban asnaf yang berdaftar dengan LZS terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dan menampung kos yuran untuk anak-anak mereka.
Ia meliputi semua peringkat umur pelajar iaitu pra sekolah seramai 899 orang, sekolah rendah kebangsaan/sekolah rendah agama (37,679 orang), sekolah menengah kebangsaan (36,587 orang) dan sekolah menengah agama (307 orang).
Setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima kelengkapan persekolahan pada kadar RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama pada kadar RM150.00 seorang. Manakala bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula akan menerima sebanyak RM200.00.
Kelengkapan persekolahan ini meliputi pakaian seragam, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya. Ia boleh ditebus menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih iaitu di Pasar Raya Borong SAKAN, Pusat Pakaian Hari-Hari, Pasar Raya MM dan Kedai Canggih berdasarkan kepada kadar bantuan yang diterima bermula 18 Februari hingga 18 Mei 2023.
Manakala bagi penerima fakir dan miskin dari daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang boleh menebus kelengkapan persekolahan tersebut secara dalam talian di www.terasds.com. Barangan keperluan persekolahan akan dihantar terus ke rumah asnaf melalui perkhidmatan kurier yang disediakan. Ia merupakan kerjasama LZS dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).
Di samping itu, setiap pelajar turut menerima bantuan yuran persekolahan di antara RM100 hingga RM200 seorang, bergantung kepada tahap persekolahan mereka. Manakala bantuan tambahan berjumlah RM100.00 akan disalurkan kepada semua pelajar asnaf bagi menampung keperluan persekolahan lain.
Ini bermakna secara puratanya, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga.
Pemberian bantuan ini disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes kes tertentu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
Sumber: Lembaga Zakat Selangor
Untuk sebarang terbitan artikel/video, sila hubungi 01165676168 (Zuhairah) atau emel ke [email protected]