Sep 06, 2024 11AM
Kerajaan Sediakan Formula Kadar Nafkah Anak Untuk Mahkamah Syariah, Cepatkan Proses Hak Anak
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Kerajaan bersedia untuk mewujudkan formula khusus yang boleh diguna pakai oleh semua Mahkamah Syariah dalam menentukan kadar perintah nafkah anak kepada ibu bapa yang bercerai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan adanya formula itu, proses penentuan kadar nafkah yang sering menjadi perdebatan sebelum ini dapat diatasi sekaligus mempercepat proses hak nafkah sampai kepada anak-anak terbabit.
“Di negara luar, mereka ada formula khusus yang dibangunkan bagi tentukan kadar nafkah anak, bermakna apabila berlaku kes penceraian, kadar itu akan diguna sebagai panduan.
“Dengan formula itu, tempoh masa untuk tentukan kadar nafkah yang akan diterima dapat diputuskan dengan lebih cepat tanpa perlu melalui proses mediasi yang biasanya memakan masa yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Keluarga (ICFL) 2024 bertemakan “Memperkasakan Hak Nafkah Anak” di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata amalan itu adalah berbeza berbanding Malaysia iaitu mahkamah masih perlu melalui prosedur mendengar keterangan bapa, isteri dan anak dan proses itu sahaja mengambil masa berbulan-bulan selain ada kalanya disalah guna untuk memanjangkan kes tuntutan nafkah.
Beliau berkata bagi negara luar, mahkamah menurunkan kuasa kepada sebuah agensi khusus yang akan menjalankan tugas pentadbiran bagi menentukan jumlah, kadar, kutipan dan penguatkuasaan perintah nafkah.
“Perkara yang dilaksanakan di negara barat ini ada dikongsi dalam ECFL dan juga dimasukkan sebagai antara resolusi persidangan…saya harap Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah dapat pelajari dan tambah baik mengikut kesesuaian di sini,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk memanjangkan tempoh penjara maksimum 30 hari yang dikuatkuasakan kepada bapa yang ingkar perintah nafkah ketika ini, Mohd Na’im berkata: “peruntukan undang-undang itu adalah memadai buat masa ini”.
Sumber: Bernama
Ingin menampilkan siaran akhbar, temu bual eksklusif, atau kandungan berjenama anda di Kinihalal & Malaysiakini? Email kami di [email protected]
Sertai komuniti Halal kami untuk mendapatkan berita dan acara terkini.
Ikuti Kinihalal di: Facebook, LinkedIn, Instagram, dan TikTok.
Waktu Solat
15 Jan 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
06:03 (16 Jan 2025)