May 22, 2026 5AM
Program Tuisyen Rakyat Selangor, Program Didik Kasih 2026 perluas akses pendidikan berkualiti
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor melalui Yayasan MBI lancar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) Tahun 2026 sebagai sebuah komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan berkualiti dan inklusif.
PTRS adalah inisiatif kerajaan negeri bertujuan meningkatkan pencapaian SPM dan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, dicerminkan oleh peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2025 kepada 4.52 berbanding 4.59 pada tahun sebelumnya.
Tahun ini, ia melibatkan 143,000 pelajar terdiri daripada 71,000 pelajar Tingkatan 5 dan 72,000 pelajar Tingkatan 4 di 274 sekolah menengah KPM dan JAIS, meliputi lapan subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia.
PDK pula memberi tumpuan kepada intervensi literasi dan numerasi bagi murid pemulihan sekolah rendah, menyasarkan 20,000 murid Tahun 2 hingga Tahun 6 di 661 sekolah rendah melalui modul Literasi (Bahasa Melayu) dan Numerasi (Matematik).

Amirudin menekankan kepentingan pendidikan dalam membangunkan generasi pelapis negeri yang berdaya saing dalam semua aspek, tidak hanya terhad kepada pendidikan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif-inisiatif itu adalah matlamat kerajaan negeri dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi berkeyakinan dan berakhlak mulia.
“Kelainan pada tahun ini adalah PDK yang menyediakan kelas pemulihan bagi murid-murid Darjah Satu ke atas di seluruh negeri Selangor untuk mempertingkat kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis, Mengira) yang mungkin sebahagian mereka terlepas.
“Kami bukan hanya sekadar menyediakan tuisyen, tetapi ruang untuk pelajar memupuk keyakinan bagi menempuhi cabaran, sebab sebahagian daripada mereka berada dalam kelompok yang sedikit tertekan dengan kehidupan mereka.
“Jadi, kami mahu mereka mempunyai motivasi, keyakinan diri yang tinggi dan pemikiran yang lebih positif untuk mendepani cabaran-cabaran, selain melatih dan mendidik kemahiran berfikir mereka di peringkat akademik dan rohani,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Amirudin bersama-sama penerima Insentif Kecemerlangan SPM 2025, iaitu para pelajar SPM sesi lalu yang mendapat gred A bagi semua subjek diambil.
Beliau telah menyempurnakan Majlis Pelancaran PTRS dan PDK Tahun 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, disaksikan oleh Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim, wakil JAIS, para guru dan murid-murid.
Kedua-dua inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), disokong dengan penyediaan modul percuma, makanan tengah hari, serta elaun kepada penyelaras dan guru.
Turut selari dengan agenda pendigitalan pendidikan negeri, pelajar dapat mengakses aplikasi mudah alih PTRS dan portal ePTRS yang merangkumi bahan pembelajaran maya seperti e-buku, video pengajaran serta interaksi dua hala termasuk siaran langsung.
Lebih sukacita, Amirudin memaklumkan modul PTRS dihasilkan oleh warga pendidik negeri itu sendiri, yang bukan sahaja digunakan oleh murid-murid dalam negeri tetapi menjadi rujukan sekolah-sekolah di luar Selangor.

Modul PTRS dirangka sendiri oleh warga pendidik negeri Selangor, dengan tambahan subjek Matematik Tambahan dan Fizik pada tahun ini.
Tambahnya, ia menjadi pengiktirafan terhadap kualiti kandungan modul PTRS dan membuktikan keupayaan guru-guru serta sistem pendidikan negeri di peringkat kebangsaan.
Pada masa sama, Ahmad Azri berkata, Yayasan MBI menyalurkan RM12 juta untuk melaksanakan PTRS dan PDK, memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar daripada sekolah rendah hingga sekolah menengah.
“Yayasan MBI– sebuah agensi di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) — bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program-program kebajikan di negeri ini, dan satu per tiga daripada peruntukan Yayasan MBI disalurkan ke bidang pendidikan.
“Peruntukan itu berjumlah RM15 juta, iaitu sebuah jumlah besar untuk digunakan ke arah pendidikan dan daripada jumlah itu, RM12 juta diperuntukkan untuk PTRS dan PDK.

Azri menyahut saranan Menteri Besar Selangor untuk memperbanyak subjek STEM dalam PTRS bagi memperkukuh bidang itu dalam kalangan pelajar negeri Selangor.
“Memandang ke hadapan, kami dalam rancangan menambah dua lagi mata pelajar untuk menyambut saranan Menteri Besar Selangor yang mahu subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diperkukuh di negeri ini,” katanya.
Waktu Solat
22 May 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:23

