May 27, 2025 4PM
7 fakta anda harus tahu tentang pelupusan al-Quran
1. ADAB MELUPUSKAN AL-QURAN
Sepanjang proses pelupusan, kita mesti mematuhi adab dan perlakuan yang digariskan syarak sebagaimana kita ingin membaca dan menghafal al-Quran misalnya dengan mengambil wudhu untuk mengendalikan helaian dan kitab suci serta berhati-hati untuk tidak melangkah ke atas bahan bacaan atau abu al-Quran. Walaupun ia akan dilupuskan, ia masih mengandungi kalimah Allah SWT yang mesti dihormati.
2. CARA PELUPUSAN AL-QURAN YANG BETUL VS SALAH
Al-Quran boleh dilupuskan melalui dua cara samada ditanam atau dibakar. Namun kebanyakan pusat pelupusan al-Quran lebih memilih untuk membakar.
MELUPUS AL-QURAN SECARA PENANAMAN
Al-Quran yang rosak atau usang boleh ditanam selepas tidak digunakan lagi, namun anda harus memastikan kawasan ia ditanam itu tidak disinggahi oleh orang lain.
Walaupun sudah ditanam, helaian tersebut masih mengandungi ayat-ayat suci yang tidak boleh dilangkah oleh mana-mana makhluk, maka tempat itu harus dijaga daripada dilawati orang.
MELUPUS AL-QURAN SECARA PEMBAKARAN
Pembakaran adalah kaedah paling kerap digunakan dan praktikal untuk melupuskan al-Quran. Helaian al-Quran dikoyakkan daripada tunjang kitabnya sebelum dibakar di dalam dapur pembakaran bertutup.
Dapur bertutup itu penting bagi memastikan abu yang terkumpul tidak keluar ditiup angin kerana ia akan menyukarkan proses pengumpulan dan pembungkusan abu. Selepas seminggu dibakar, al-Quran yang dilupuskan itu akan bertukar menjadi abu berwarna putih. Abu ini akan dibungkus di dalam guni sebelum dilepaskan di laut.
Menurut Ketua Operasi Pusat Pelupusan Al-Quran Riyadh Restu, Abd Latiff Majid berkata, abu berwarna putih berbeza dengan abu berwarna hitam arang yang biasa dilihat dan dikendalikan.
Memandangkan hasil pelupusan akan dilepaskan ke laut, abu berwarna putih lebih mudah menyerap dan tenggelam ke dalam air, manakala abu hitam hanya akan terapung di permukaan.
Bagi mendapatkan abu seperti itu, ia memakan masa pembakaran yang sangat lama iaitu sekurang-kurangnya tujuh hari. Tambahnya lagi, abu juga mesti dilepaskan dalam air yang bergerak seperti laut atau sungai. Pelepasan abu ke dalam badan air takungan seperti tasik dan kolam hanya akan membiarkan abu itu kekal di situ dan berpotensi ‘dilangkah’ oleh orang yang melawatinya.
Bagi bahan bukan kertas atau mudah dibakar seperti kaca dan gelas, ia hendaklah dihancurkan sehingga kepingan-kepingan yang mengandungi ayat al-Quran tidak boleh dibaca lagi.
MENGITAR SEMULA AL-QURAN
Menurut Abd Latiff, al-Quran yang sudah tidak dibaca boleh dikitar semula jika tidak mahu dilupuskan. Namun, al-Quran hanya boleh dikitar semula sebagai al-Quran kerana walaupun telah bertukar bentuk dan fungsi, sifatnya masih mengandungi ayat suci Allah SWT yang mesti diperlakukan dengan adab serta kehormatan tertinggi.
3. PELUPUSAN BAHAN BACAAN SUCI SELAIN AL-QURAN
Kalimah Allah SWT tidak terbatas pada al-Quran sahaja. Mana-mana ayat suci samada doa, hadis dan tafsiran al-Quran juga tertakluk kepada cara dan adab pelupusan yang sama seperti al-Quran. Namun, Abd Latiff berkata, ia bergantung kepada jumlah helaian yang mengandungi ayat suci tersebut.
Jika buku tersebut, misalnya buku teks Pendidikan Islam, hanya terdapat beberapa helaian sahaja yang mengandungi ayat suci, maka hanya helaian-helaian tersebut akan dikoyakkan dan dilupuskan melalui cara yang sama seperti al-Quran. Selebihnya, buku tersebut boleh dilupuskan mengikut kehendak sendiri.
4. KOS MELUPUSKAN AL-QURAN
Bagi pusat pelupusan al-Quran yang menawarkan khidmat pelupusan dalam skala besar, kos untuk memulakan dan mengekalkan operasi boleh memakan ribuan ringgit. Sebagai pengasas dan ketua operasi pusat, Abd Latiff mengeluarkan sejumlah RM40,000 untuk membina dapur pembakaran dengan jangka hayat tiga ke empat tahun.
Menerusi cas RM7 per kilogram al-Quran untuk dilupuskan, beliau juga harus menampung tiga ke empat orang pekerja. Kos lain turut meliputi pembinaan dan penyelenggaraan gudang untuk menyimpan al-Quran yang belum dibakar.
Bagi menjimatkan perbelanjaan, mereka melepaskan abu al-Quran yang dibungkus di dalam guni sahaja, berbeza dengan pusat pelupusan lain yang menghasilkan bongkah.
5. PERKHIDMATAN PELUPUSAN AL-QURAN
Kini, terdapat empat pusat pelupusan al-Quran di Selangor termasuk Pusat Pelupusan Al-Quran Riyadh Restu. Pusat ini perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk beroperasi.
Menurut Abd Latiff, mereka menerima cetakan al-Quran yang ditolak oleh Kompleks Nasyrul Quran. Berbeza dengan kitab-kitab al-Quran usang, cetakan ini adalah helaian al-Quran yang tidak berjaya melepasi piawaian untuk dibukukan menjadi kitab bacaan., mereka menerima helaian al-Quran dalam jumlah yang banyak.
KDN akan turun memeriksa dapur, gudang, kawasan pembungkusan dan pelepasan abu al-Quran untuk memastikan pusat pelupusan al-Quran tersebut menepati piawai yang ditetapkan oleh KDN. Mereka turut mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Bomba.
6. LUPUS AL-QURAN DO-IT-YOURSELF (DIY)
Sekiranya orang awam ingin melupuskan al-Quran mereka dengan sendiri, mereka tidak perlu mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada mana-mana badan.
Mereka boleh melupuskan sendiri berdasarkan adab dan cara yang ditetapkan, serta memastikan mereka tidak mencemarkan alam sekitar atau membahayakan nyawa orang lain.
7. KEPENTINGAN MENJAGA AL-QURAN
Al-Quran merupakan kitab dan mukjizat terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk dijadikan panduan di akhir zaman. Ia merangkumi ilmu-ilmu dunia, akhirat, kisah-kisah Nabi SAW dan banyak lagi.
Al-Quran juga menjadi saksi kepada kewujudan Allah SWT dan pemilihan para Rasul-Nya. Umat Islam yang beriman akan Allah SWT dan para Rasul wajib beriman akan al-Quran dan ajarannya.
Waktu Solat


28 May 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:13

