Back To All

Feb 13, 2025 5PM

Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim impak besar buat Tasik Cermin, Perak

Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan The Best Accessible Tourism Initiative Award sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 lalu ternyata memberi impak besar buat Tasik Cermin atau lebih dikenali sebagai antara Ipoh Hidden Gems.

 

Anugerah berkenaan turut memberi kesan memberangsangkan kepada industri pelancongan mesra muslim di Malaysia selari dengan pencapaian negara ini yang kekal mengungguli senarai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 dan penganugerahan Malaysia sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut.

 

Kejayaan itu menunjukkan kesungguhan Majuperak Holdings Berhad (MHB) bersama rakan strategik, STG World Sdn Bhd (STG) dalam menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang inklusif dan mesra kepada pelancong dari pelbagai latar belakang agama, bangsa, dan warganegara.

 

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merangkap Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad (MHB), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata, transformasi Tasik Cermin - yang dahulunya adalah bekas kuari - adalah simbol dedikasi mereka terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi Perak.

 

“Kami berbangga kerana membawa pengalaman unik ini kepada dunia. Bayangkan, hanya 2 jam perjalanan dari ibu negara, rakyat Malaysia kini dapat menikmati keindahan warisan geologi di Lembah Kinta yang bukan sahaja mempunyai nilai estetik yang tinggi, tetapi juga mempunyai nilai sejarah. 

 

“Suatu masa dahulu, inilah antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah dan kini ia dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan Malaysia secara keseluruhannya. 

 

Rasai keseronokan bermain ATV di Tasik Cermin, Ipoh 


“Ini merupakan suatu inisiatif yang membanggakan buat MHB dan STG kerana berjaya memulihara warisan geologi ini sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij.


“Destinasi geo pelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, sejak beroperasi pada 2022, pihaknya bersama STG memastikan akses dan kemudahan yang selesa kepada pengunjung dengan menyediakan laluan jalan masuk berturap, parkir yang mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari masa ke semasa. 

 

Katanya, pihak operator turut memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi berkenaan berusia kira-kira 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta. 

 

“Kejayaan Tasik Cermin adalah pengiktirafan atas usaha MHB dalam mengetengahkan kecemerlangan dan merancakkan industri pelancongan. 

 

Nikmati pengalaman menaiki bot dalam suasana tenang sewaktu percutian anda


“Malahan, ia akan menjadi motivasi untuk kami terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjadikan produk Tasik Cermin lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua pelancong,” katanya.

 

Selain daripada itu, kerajaan negeri Perak melalui aspirasi Perak Sejahtera 2030 giat membangunkan pelbagai inisiatif pelancongan termasuk geopark di bawah flagship Ekonomi Pengalaman. 

 

Justeru, MHB terus komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan hijau dan eko pelancongan khususnya dalam pengurusan geopark di bawah inisiatif Pengurusan Aset dan Kemudahan MHB.


Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MHB, Yazurin Sallij, berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan buat pihaknya dan STG kerana ia bukan sahaja mengiktiraf destinasi pelancongan itu tetapi juga aspek kualiti perkhidmatan di Tasik Cermin yang menjadi keutamaan mereka sejak destinasi pelancongan itu dibuka kepada pengunjung.

 

Menurut beliau, selain daripada kelestarian alam, komitmen mereka secara kolektif dalam aspek kualiti, kebersihan dan kemudahan mesra pengunjung amat dititikberatkan. 


Tasik Cermin juga menyediakan aktiviti di Pony Town bersama kuda padi bernama Kopi dan Susu


“Anugerah berprestij ini menjadi penanda aras kepada kami untuk memastikan Tasik Cermin bukan sahaja destinasi popular akan tetapi sebagai ikon kepada bandaraya Ipoh,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Tasik Cermin, Ng Seong Ping, berkata, STG bekerjasama erat dengan MHB untuk terus menggiatkan usaha mempromosikan Tasik Cermin dengan menawarkan pakej bersesuaian mengikut pelbagai peringkat umur dan menambah lebih banyak aktiviti kegiatan luar dan program-program menarik sepanjang tahun ini.

 

“Ia seperti ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati oleh para pengunjung. 

 

“Bagi tujuan tersebut kami akan memastikan kakitangan yang terlibat diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak. Tasik Cermin telah menarik lebih daripada 500,000 pelawat setakat Disember 2024,” katanya.

 

Destinasi berkenaan menyasarkan seramai 1 juta pengunjung, yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri.  

Waktu Solat
Waktu Solat
mosque
mosque

23 Feb 2025

Waktu solat berikutnya,

Dhuhr

pada

13:29

mosque
imsak

Imsak

06:08:00

fajr

Fajr

06:18:00

syuruk

Syuruk

07:25:00

dhuhr

Dhuhr

13:29:00

asr

Asr

16:46:00

maghrib

Maghrib

19:29:00

isha

Isha

20:39:00

mosque

Channel Partners

malaysiakinikiniTV

Strategic Partners

hiphip

Media Partner for

Hei 2023Hei 2023Malaysia Showcase