Oct 13, 2025 3PM
Belanjawan 2026 terus perkasa ekosistem industri halal negara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan ekosistem industri halal antara fokus kerajaan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada 10 Oktober lalu.
Beliau berkata, sektor itu terus diperkasa dengan usaha mempercepat urusan pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar proses pensijilan bertambah cekap serta keyakinan pengguna dan pelabur diperkukuh.
Selari dengan inisiatif itu, Halal Development Corporation (HDC) digerakkan bagi menggalakkan pematuhan halal dalam kalangan syarikat tempatan untuk memastikan piawaian produk serta perkhidmatan menepati standard antarabangsa.
PKS akan menerima manfaat besar susulan pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu, tahun hadapan. (kredit foto: Malaysiakini)
“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal dengan SME Bank menawarkan pembiayaan khas berjumlah RM100 juta bagi membantu pengusaha memperluas perniagaan masing-masing,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Sementara itu, syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan meningkatkan jaminan kerajaan untuk membiaya PKS halal kepada RM2 bilion, berbanding RM1 bilion sebelum ini untuk memperkukuh akses pembiayaan kepada pengusaha industri tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan dalam rancangan membangunkan Taman Industri Halal Perak di daerah Manjung dengan kos RM124 juta sebagai usaha memperluas pembangunan infrastruktur halal di luar Lembah Klang.
Waktu Solat


14 Oct 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:02

