Mar 02, 2026 3PM
JAKIM : Snek Korea Selatan tular berasaskan babi tidak dipersijilkan halal
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa snek popular dari Korea Selatan yang didakwa mempunyai bahan berasaskan babi seperti disiarkan dalam beberapa akhbar utama baru-baru ini tidak pernah dipersijilkan halal oleh badan tersebut.
JAKIM berkata, produk import tersebut tidak memaparkan logo halal daripada mana-mana Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh badan itu pada label pembungkusan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memilih produk yang dipersijilkan halal oleh JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.
“Amalkan sikap berhati-hati dalam memilih produk seumpamanya dengan menyemak label dan kandungan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.

JAKIM menasihatkan orang ramai untuk merujuk kepada label halal oleh badan berautoriti sebelum mengambil sebarang produk, khususnya makanan dan minuman.
“Sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan logo pada produk yang tidak halal, orang ramai disaran membuat laporan segera kepada pihak berkuasa berwibawa untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Terdahulu, seorang pengguna Tik Tok dengan nama akaun liafa62 mendakwa bahawa ramuan berunsurkan babi bagi snek Korea Selatan, Pizza Flavoured Olive Young Bagel Chips disembunyikan dalam terjemahan bahasa Inggerisnya.
Selepas menanggalkan pelekat dengan senarai ramuan berbahasa Inggeris, pengguna tersebut menterjemah semula label produk itu daripada bahasa Korea lalu mendapati bahan berasaskan babi tersebut tidak dinyatakan dalam senarai rujukan asal.
“Bukankah praktis ini melanggar undang-undang? Awak menyembunyikan ramuan haram bagi label berbahasa Inggeris untuk diambil oleh orang awam dalam sebuah negara dengan majoriti penduduk beragama Islam.

Pengguna Tik Tok dengan nama akaun liafa62 mendedahkan senarai ramuan berbahasa Inggeris dan Korea bagi produk tersebut adalah tidak serupa. (kredit foto: Tik Tok liafa62)
“Saya tak tahu jika saya sudah paranoid, tetapi saya dapat rasakan mereka sengaja menggunakan label berpelekat yang memang sukar ditanggalkan supaya pengguna tidak akan dan tidak mudah memeriksa ramuan asal produk ini lalu mendapati ia mengandungi babi,” katanya.
Beliau turut memeriksa dua produk lain yang dibelinya di bawah jenama yang sama, dan mendakwa produk-produk itu walaupun tidak mengandungi bahan berasaskan babi secara jelas, masih dihasilkan di dalam kilang sama yang mengeluarkan produk berasaskan babi.
Video berdurasi 1 minit 8 saat milik liafa62– atau lebih ramah dikenali sebagai Liana – telah meraih 56.2 ribu tanda suka, 1009 komen dan 7935 tanda simpan di Tik Tok pada 2 Mac sejak ia dimuat naik pada 17 Februari lalu.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati ketika membeli barangan, khususnya makanan, walaupun di kedai-kedai yang kebiasaannya menjual barangan dipersijilkan halal.
Waktu Solat


03 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Syuruk
pada
07:23
















