May 01, 2026 6PM
MAIWP: Rain Rave Water Festival 2026 bukan lambang adat ketimuran negara
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantah penganjuran Rain Rave Water Festival 2026, menyifatkan festival itu sebagai bercanggah dengan prinsip dan adat ketimuran yang menjadi teras masyarakat di Malaysia.
Malah, MAIWP dalam sebuah kenyataan berkata, festival itu turut menganggu sensitiviti masyarakat setempat dan kurang sesuai dilaksanakan di persekitaran bandar yang menempatkan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Aspek kesejahteraan dan keharmonian sosial perlu diutamakan dalam usaha memajukan sektor pelancongan dan hiburan di Wilayah Persekutuan.
“Program ini bersifat hiburan bebas (rave) dan melibatkan aktiviti air secara terbuka yang dilihat sebagai satu bentuk keterlanjuran, membuka ruang kepada pergaulan bebas dan kelakukan tidak bermoral.
MAIWP menyeru penganjur untuk memilih bentuk hiburan yang lebih bermanfaat dan tidak berisiko mencetuskan polemik. (kredit foto: Instagram Amir Rosyadie)
“Pendirian ini turut disandarkan kepada ulasan Bayan Linnas Siri ke-351: Rain Rave Water Festival 2026 yang menyifatkan festival muzik atau pesta hiburan seringkali dikaitkan dengan unsur-unsur berpotensi mencetus persoalan dari sudut nilai, adab dan hukum syarak,” katanya, semalam.
Penganjuran Rain Rave Water Festival 2026 itu dijadualkan berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei ini di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurut MAIWP, sebagai pemegang amanah hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan, majlis itu mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan ibu negara tidak menjadi lokasi penganjuran aktiviti yang boleh meruntuhkan nilai adab dan akhlak generasi muda.
Justeru, MAIWP menyeru penganjur lebih bertanggungjawab dalam memilih bentuk hiburan yang lebih bermanfaat dan tidak mencetuskan polemik berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat.
Waktu Solat


01 May 2026
Waktu solat berikutnya,
Isha
pada
20:31












