Apr 18, 2025 10AM
Solusi Halal2u lebih dari sekadar penyelesaian perbankan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)
Maybank Islamic Berhad (MIB) terus komited dalam memainkan peranan utama dalam menyokong usahawan dan perniagaan yang berhasrat untuk menceburi atau mengembangkan operasi mereka, baik di peringkat tempatan mahupun global, melalui pelbagai inisiatif strategik.
Seiring dengan unjuran pertumbuhan industri Halal Malaysia yang dijangka menyumbang sebanyak 8.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030, Maybank Islamic, selaku institusi kewangan Islam terbesar di negara ini, terus mengorak langkah progresif dalam usaha meningkatkan pembiayaan patuh syariah kepada industri Halal daripada RM5.4 bilion kepada RM10 bilion menjelang tahun yang sama.
Pengarah Program Strategik MIB, Dr. Muhd Ramadhan Fitri Ellias, berkata, sebagai penyedia perkhidmatan kewangan patuh syariah, Maybank Islamic menawarkan pelbagai produk pembiayaan yang sesuai dengan setiap peringkat perniagaan dari kecil hingga yang lebih besar.
Justeru, menurut beliau, Maybank Islamic memperkenalkan Solusi Halal2u, inisiatif komprehensif yang merangkumi penyelesaian perbankan serta sokongan melangkaui perbankan untuk memacu perniagaan Halal, terutama sektor PMKS.
Katanya, antara solusi holistik tersebut adalah dengan menyediakan platform e-dagang Halal Business-to-Business (B2B) seperti Salaam Market yang dibangunkan melalui kerjasama pengendali pasaran dalam talian, Macro Tech Ventures Sdn Bhd (Borong).
“Secara keseluruhannya, pasaran ekonomi Halal di Malaysia berkembang pesat dan menyeluruh, merangkumi bukan sahaja industri makanan dan minuman, tetapi juga sektor-sektor lain seperti farmaseutikal, fesyen, pelancongan, media, dan rekreasi.
Dr Muhd Ramadhan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan pelancaran Salaam Market di Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX) 7 Disember tahun lalu
“Maybank Islamic turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem ini, terutamanya melalui platform seperti Salaam Market, yang menyediakan akses kepada peluang perniagaan baharu. Melalui platform Salaam Market ini, PMKS boleh memperluas capaian pasaran mereka ke seluruh negara secara efisien.
“Sebagai peneraju dalam industri ini, kami berusaha untuk mengembangkan rantaian nilai Halal dan membantu PMKS berkembang ke skala yang lebih besar,” katanya.
Menurut Dr. Muhd Ramadhan, yang membuatkan Salaam Market lebih istimewa, usahawan dan peniaga boleh mendapatkan harga kompetitif dengan diskaun pukal yang menarik untuk pelbagai kategori produk.
Menurutnya lagi, selain dapat membuat pembelian secara pukal, PMKS turut berpeluang untuk menjual di platform berkenaan dengan kadar caj yang lebih rendah berbanding pasaran lain.
Di samping itu, mereka juga mempunyai akses langsung kepada penyelesaian perbankan digital seperti SME First Account-i dan SME Digital Financing, yang direka khusus bagi menyokong keperluan serta pertumbuhan perniagaan mereka.
Bukan setakat itu, Solusi Halal2u turut menawarkan Pembiayaan Halal4Ward, program pembiayaan yang mematuhi prinsip kewangan Islam untuk membantu individu atau perniagaan dalam pengubahsuaian premis mengikut piawaian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dr. Muhd Ramadhan berkata, sejak program pembiayaan itu dilancarkan pada 2022, sebanyak RM1.2 bilion telah disalurkan kepada pemain industri halal dalam kategori PMKS yang dimanfaatkan oleh 3,351 pelanggan.
“Maybank Islamic terus berusaha untuk memastikan usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka melalui program pembiayaan yang patuh syariah, sekaligus berjaya dalam pasaran yang kompetitif.
“Pakej Pembiayaan Halal4ward itu antaranya memberi akses kepada produk perbankan digital untuk pembiayaan dan deposit.
“Program bertujuan untuk mempermudah dan menyokong perniagaan yang ingin mendapatkan pensijilan Halal daripada JAKIM itu mendapat sokongan pembiayaan modal kerja melalui SME Digital Financing-i hingga RM500,000 untuk tempoh 7 tahun,” katanya.
Selain itu, Maybank Islamic memainkan peranan penting dalam memperkasa pemahaman masyarakat dan usahawan mengenai kepentingan ekosistem Halal melalui inisiatif Bimbingan Halal yang dijalankan dengan kerjasama Synxsoft Sdn Bhd.
Menurut beliau, sistem yang dibangunkan oleh Synxsoft itu bertujuan untuk menilai tahap kesediaan pelanggan dalam memenuhi keperluan pensijilan Halal Malaysia.
“Sejak Bimbingan Halal dilaksanakan pada 2023, seramai 808 pelanggan telah menyatakan minat mereka untuk menyertai program ini.
“Inisiatif ini memudahkan proses pensijilan Halal dengan memastikan pematuhan kepada piawaian Halal JAKIM melalui Fasilitator Halal dalaman kami.
“Kami melangkah lebih jauh daripada sekadar menawarkan perkhidmatan perbankan dengan melaksanakan pelbagai program literasi Halal dan kewangan di seluruh negara, yang telah berjaya memberi manfaat kepada 5000 usahawan,” katanya.
Menurut beliau, melalui inisiatif Bimbingan Halal itu, usahawan berjaya mencatatkan peningkatan hasil perolehan tahunan perniagaan antara 25% hingga 40% selepas memperolehi pensijilan Halal.
“Sijil Halal juga berfungsi sebagai ‘pasport' yang membolehkan usahawan meluaskan produk mereka ke pasar raya terkemuka dan pasaran eksport antarabangsa seperti Jepun, Dubai, dan Singapura.
“Melalui program Halal Route to Market Programme (HalMap), Maybank Islamic telah berjaya membantu usahawan menembusi pasaran Singapura melalui kerjasama dengan Hao Mart.
“Pemain industri Halal boleh mengakses semua tawaran ini melalui laman sesawang Halal2u Maybank Islamic. Melalui inisiatif-inisiatif ini, kami komited untuk terus menyokong dan memperkukuh ekosistem Halal yang inklusif dan mampan.
“Kami bertekad memastikan pertumbuhan sektor ekonomi dapat dicapai secara berkesan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Waktu Solat


25 Apr 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:14

