May 29, 2025 2PM
Malaysia, Indonesia bincang selaras logo Halal di peringkat global
Malaysia dan Indonesia kini dalam perbincangan menyelaras logo Halal di peringkat global agar negara-negara terlibat hanya menggunakan logo Halal keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada produk mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, logo halal dikeluarkan oleh JAKIM dipilih sebagai penanda aras dalam pengeluaran sijil halal, menggantikan pelbagai logo dari negara lain dengan matlamat hanya satu logo digunakan.
Menurut beliau, Malaysia dan Indonesia berhasrat untuk membawa cadangan itu pada Mesyuarat Majlis Halal Sedunia yang akan diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada November depan.
“Kami tidak akan berkompromi akan piawaian Halal. JAKIM mempunyai piawaian yang sangat tinggi dalam pensijilan Halal dan diiktiraf oleh 88 badan Halal seluruh dunia,” katanya seperti dilapor MSN.
Piawai JAKIM dalam pensijilan Halal yang tinggi menjadi sumber rujukan buat negara-negara rakan (kredit foto: Malaysiakini)
Tambah Ahmad Zahid, sebanyak 40 negara menjalinkan kerjasama dengan JAKIM berhubung inisiatif itu.
“Biar kami berada di barisan hadapan supaya kami boleh membantu negara-negara lain.
“Kami juga telah melihat negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sangat komited terhadap usaha Malaysia.
“China juga sudah mengadakan perbincangan bersama kami berkaitan perkara ini,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata pihaknya turut bercadang untuk menubuhkan Majlis Halal ASEAN bersama Suruhanjaya Halal.
Beliau berkata, kertas kerja untuk penubuhan Suruhanjaya Halal itu masih dalam proses.
Minat negara-negara lain untuk meneroka industri Halal global menerusi Malaysia semakin meningkat dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN (kredit foto: Kementerian Luar Negeri)
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beberapa negara ASEAN dan GCC termasuk China berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dan berkongsi pengalaman dalam industri Halal.
Menurut senator itu, negara-negara tersebut menyuarakan hasrat itu apabila Malaysia dilihat sebagai peneraju industri Halal dan ingin Malaysia berkongsi pengalaman serta isu-isu teknikal yang berkaitan.
“Penting bagi Malaysia untuk meningkatkan penglibatan dalam blok-blok baharu apabila berhadapan cabaran ekonomi dan geopolitik global,” katanya.
Waktu Solat


08 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:40

