Jun 25, 2025 12PM
Nestlé Malaysia perluas program Halal@School dengan pelancaran pertama di Melaka
Halal@School adalah pendekatan proaktif Nestlé Malaysia yang lebih meluas untuk menambah baik kehidupan komuniti tempatan dengan menyebarkan ilmu pemakanan kepada masyarakat khususnya remaja.
Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor berkata, mereka mempunyai tanggungjawab untuk memberikan sumbangan melalui penglibatan bermakna dalam masyarakat di tempat mereka berkhidmat selain menghasilkan produk berkualiti.
“Menerusi program Halal@School, kami dapat menghulur tangan kepada murid-murid dengan cara yang praktikal, terangkum dan relevan, memupuk tahap kesedaran lebih tinggi tentang nilai-nilai Halal sambil menggalakkan pilihan pemakanan lebih sihat dalam kalangan generasi masa depan kita,” katanya.
Nestlé Malaysia dalam sebuah kenyataan berkata, inisiatif itu dimulakan pada 2018 dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum dilancarkan di peringkat negeri buat kali pertama di Melaka.
Menurut syarikat itu, program itu meliputi sesi perkongsian, kuiz dan Perlumbaan Halal Explore Race yang direka suai untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah dan menyeronokkan bagi agar murid-murid memahami konsep Halal sebagai cara hidup berlandaskan integriti, kesejahteraan dan sikap menghormati orang lain.
Pelajar dari 6 buah sekolah di seluruh Melaka menyertai program Halal@School Nestlé Malaysia yang berkembang tahun ini melalui pelancaran pertama peringkat negeri bermula di SK Kerubong.
Untuk rekod, program itu telah melibatkan 5,400 murid di 166 sekolah di seluruh negara sejak dimulakan dan diperluaskan dengan anjurannya tahun lepas sahaja melibatkan lebih 1,100 murid di 23 sekolah di Putrajaya, Johor dan Kedah,
Perluasan ke Melaka membuka lembaran baharu bagi program, dan sekali gus menandakan kejayaan program berkembang maju melangkaui daerah ke peringkat negeri dengan penglibatan murid-murid secara lebih meluas.
Bagaimanapun, Halal@School pada tahun ini sedikit berbeza kerana ia mengalu-alukan penyertaan murid-murid Islam dan bukan Islam iaitu satu pendekatan yang terangkum dan inklusif.
Nestlé Malaysia berkata, pembelajaran bersama dalam persekitaran berbilang budaya dapat membina kefahaman dan empati sambil mengukuhkan nilai-nilai teras penggunaan beretika.
Majlis pelancaran program Halal@School yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kerubong, Melaka baru-baru ini menghimpunkan lebih 500 murid dari enam sekolah yang terlibat.
Majlis pelancaran tersebut merupakan satu mercu jaya penting dalam usaha syarikat meningkatkan kesedaran tentang nilai-nilai Halal dan pemakanan sihat dalam kalangan anak muda di Malaysia.
Pengetua SK Kerubong, Puan Rahayu Mohd Thith berkata, langkah mendidik murid-murid tentang amalan halal dan pemakanan sihat tidak mengenal fahaman atau agama sebaliknya menjadi gaya hidup yang menyokong kesejahteraan fizikal, kecerdasan minda dan nilai-nilai moral.
Pelajar ketika program Halal@School peringkat negeri di SK Kerubong, Melaka dengan rancangan untuk berkembang ke wilayah Pantai Timur dan Utara akhir tahun ini.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana daripada begitu banyak sekolah di Melaka, SK Kerubong telah dipilih sebagai tuan rumah untuk program ini.
"Halal bukan sahaja mengenai kepercayaan, tetapi juga kesihatan, sains dan keputusan bijak demi masa depan yang lebih baik.
"Kami yakin menerusi inisiatif ini, kami membina generasi pelajar yang bukan sahaja bijak dan moden, tetapi bertanggungjawab dan prihatin tentang pengambilan makanan,” katanya.
Rahayu turut berkata, murid-murid begitu berminat untuk turut serta sehingga ibu bapa juga berharap semua anak mereka boleh mengambil bahagian dari saat program tersebut diperkenalkan.
Peserta menyertai satu siri aktiviti praktikal menarik yang bertumpukan prinsip halal, keselamatan makanan dan pemakanan seimbang.
Salah seorang murid dari SK Kerubong yang turut serta, Nur Yasmin Arissa Khairin Mohd Raziq berkata, aktiviti kegemarannya daripada siri itu adalah Perlumbaan Halal kerana beliau dapat belajar mengenai konsep halal sambil bermain lalu memenangi hadiah.
“Mempelajari tentang amalan Halal dan pemakanan sihat penting kerana kita dapat membuat keputusan bijak berasaskan agama dan budaya kita.
Melalui aktiviti hands-on, pelajar diberi kuasa untuk membuat pilihan pemakanan sihat yang bermaklumat sambil mempelajari cara nilai Halal membentuk kehidupan seharian
"Di sini, kami belajar menerusi aktiviti menyeronokkan yang membantu kami meningkatkan kreativiti dan memikirkan idea-idea baharu,” katanya.
Program selanjutnya dirancang pada 2025 untuk menyantuni murid-murid di wilayah Pantai Timur dan Utara pada penghujung tahun 2025.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan Mencipta Nilai Bersama, program Halal@School ialah salah satu daripada usaha berterusan Nestlé Malaysia untuk menambah baik kehidupan komuniti tempatan.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen syarikat gergasi itu untuk membekalkan produk halal, berkhasiat dan bermutu tinggi yang dihasilkan di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk semua pengguna berlandaskan teras kelestarian.
Menerusi inisiatif seperti ini, Nestlé meneruskan misi untuk membekalkan khasiat kepada masyarakat dan membantu membina masa depan yang lebih baik untuk semua.
Waktu Solat


25 Jun 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:43 (26 Jun 2025)

