Nov 27, 2024 11PM
Haramain inspirasi perjalanan spiritual dari dua kota penting umat Islam
Komposer dan penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun muncul dengan sebuah album studio terbaru, Haramain yang diinspirasikan dari perjalanan spiritual ke dua kota penting umat Islam, Mekah dan Madinah.
Katanya, album terbitan Sony Music itu hasil kolaboratif kreatif bersama barisan penulis lirik berpengalaman, ITO Lara dan Fedtri Yahya.
“Saya rasakan, ini merupakan detik terbaik untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian bagi membangkitkan rasa kerinduan dan keinginan untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah,” katanya.
Kali terakhir Hafiz yang juga Presiden dan Pengasas pertubuhan bukan kerajaan NGO Haje Care itu muncul dengan album adalah pada 2021 melalui album Zikir Terapi (Acapella) yang merupakan kesinambungan dari album studio paling hitsnya Zikir Terapi Diri pada 2011.
Sejurus album terakhir dihasilkan, Hafiz mengakui berada di persimpangan, sama ada mahu meneruskan penghasilan album studio atau terus menghasilkan single kerana album tersebut dirakamkan sewaktu musim perintah kawalan pergerakan (PKP) dan saya perlu melalui pelbagai cabaran dan kesukaran.
Haramain inspirasi dari perjalanan spiritual ke dua kota penting umat Islam
“Selepas itu, saya hanya fokus kepada penghasilan single saja,” katanya.
Haramain mengandungi 10 buah lagu antaranya Batu Hitam, Zamzam, Raudah dan Kota Cinta.
Menurut Hafiz, keindahan pengalaman mengerjakan ibadah haji dan umrah, keagungan sejarah dan warisan Islam di Mekah dan Madinah yang diceritakan dalam setiap lagu membawa pendengar melalui perjalanan spiritual ke tempat-tempat istimewa itu.
Katanya, album berkenaan lebih fokus kepada pengalaman spiritual dan bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi sebuah perjalanan hati yang membawa pendengar lebih dekat dengan Allah SWT.
“Selepas melalui beberapa siri perbincangan, kami akhirnya bersetuju untuk memulakan proses pembikinan album studio ini yang bermula sekitar bulan Jun tahun ini,” jelas Hafiz.
Selain Malaysia, Hafiz menerangkan proses rakaman turut dilakukan di luar negara bagi mendapatkan sentuhan asli muzik Timur Tengah seperti Turki yang sering dikunjunginya.
“Seperti biasa, saya akan terbang ke Istanbul untuk merakamkan beberapa elemen muzik di sana khususnya untuk instrumen muzik seperti strings, klarinet, Baglama (gambus Turki), perkusi (genderang) dan lain-lain.
“Insya-Allah, saya juga merancang untuk menghasilkan album kesinambungannya yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa.
“Kini, saya sedang dalam proses menyiapkan terjemahan bagi lagu-lagu album Haramain, yang dirakamkan semula ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Urdu dan berkemungkinan Mandarin.
“Doakan yang baik-baik agar usaha dakwah melalui muzik ini dapat berkembang,” katanya.
Waktu Solat
06 Dec 2024
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:07