Dec 30, 2025 12PM
Kilang perencah Jepun halal milik Otafuku Sauce Malaysia yakini pengguna Muslim
Otafuku Sauce Malaysia Sdn. Bhd, iaitu syarikat usahasama antara Otafuku Sauce Co., Ltd. (Jepun) dan Sushi King Sdn. Bhd., meraikan pembukaan kilangnya yang diiktiraf halal di Sendayan TechValley, Negeri Sembilan pada 10 Disember 2025 lalu.
Mulai beroperasi pada Julai 2025, penubuhan fasiliti itu mencerminkan perkembangan ketara kapasiti syarikat tersebut dalam membekalkan makanan Jepun buat pengguna Malaysia, selain mengeksport ke pasaran luar negara merentasi Asia, Timur Tengah dan Eropah.
Presiden Otafuku Holdings Co., Ltd., Naoyoshi Sasaki berkata, Otafuku Sauce Malaysia mengeluarkan pelbagai perencah halal yang melalui proses kawalan kualiti yang ketat, berlandaskan kepakaran dan resipi yang dikumpul sepanjang menjadi pengeluar perencah Jepun berdekad lamanya.
“Sebagai hab Asia Tenggara bagi kumpulan Otafuku, kami mahu mengeluarkan dan mengedarkan makanan halal yang diyakini pasaran Muslim dan orang ramai, di samping mempromosi keenakan juadah Jepun seperti Okonomiyaki ke serantau dunia,” katanya.
Bernama melaporkan, majlis perasmian fasiliti itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan dan pengusaha industri bagi sesi pemotongan riben, lawatan sekitar kilang serta pameran kulinari yang mengetengahkan perencah disahkan halal dan dihasilkan di kilang sama.

Okonomiyaki, lempeng Jepun yang dimasak di atas pemanggang besi secara langsung di hadapan para tetamu. (kredit foto: Facebook FOOD)
Mereka turut melihat demonstrasi teppanyaki, iaitu memasak daging di atas pemanggang besi, secara langsung bagi menyediakan Sushi dan Okonomiyaki (lempeng Jepun), sekali gus menonjolkan kepelbagaian produk yang dihasilkan di fasiliti diiktiraf JAKIM itu.
Menurut syarikat itu, jumlah pengeluaran produk mereka meningkat secara berterusan selari dengan penerimaan juadah Jepun dalam kalangan pengguna Malaysia yang semakin berkembang.
Bagi memenuhi permintaan dan mengukuhkan kapasiti pengeluaran, syarikat tersebut berkata ia melaburkan sebanyak RM50 juta untuk menubuhkan dan mengembangkan kilang baharunya itu.
Dilengkapi dengan sistem pengisian separa automatik dan mesin pengisian bungkusan kecil, fasiliti yang diiktiraf halal itu mempunyai kapasiti pengeluaran lapan kali lebih tinggi daripada fasiliti sebelum ini, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan pelaburan tambahan sebanyak RM50 juta oleh Otafuku Sauce Malaysia itu dalam pembangunan fasiliti tersebut.

Antara produk keluaran Otafuku Sauce Malaysia yang boleh didapati penggemar masakan Jepun. (kredit foto: Facebook FOOD)
“Pelaburan tersebut mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pusat bagi industri halal global.
“Selari dengan agenda kebangsaan untuk menarik pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi, projek itu menunjukkan bagaimana sebuah syarikat Jepun yang terkenal boleh memanfaatkan ekosistem halal Malaysia untuk memenuhi 85 peratus jualan di Malaysia dan pasaran eksport.
“Komitmen terhadap budaya kulinari Jepun yang asli itu juga menyumbang kepada kepakaran teknologi berasaskan makanan di Malaysia dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.
Buat masa ini, Otafuku Sauce Malaysia membekalkan sebanyak 100 produk disahkan halal, termasuk Sos Okonomi, perencah pedas seperti Sos Kimchi, perencah berasaskan kicap seperti Sos Teriyaki dan produk bercuka seperti Perencah Nasi Sushi.
Secara keseluruhannya, syarikat itu berkata ia menghasilkan sebanyak 40 peratus produk berjenama sendiri (NB) manakala 60 peratus produk berkontrak (ODM).
Selain juadah ala teppanyaki, syarikat itu juga berkata mereka menyediakan pelbagai format menu seperti sushi dan ramen.

Pelancaran kilang itu menandakan penerimaan meluas rakyat Malaysia terhadap masakan Jepun, terutamanya dalam kalangan pengguna Muslim. (kredit foto: Facebook FOOD)
Bagi memastikan pematuhan halal, syarikat itu hanya menggunakan bahan-bahan yang diperakui halal dan menerapkan langkah-langkah inovatif dalam pembangunan produknya.
Misalnya, Sos Okonomi yang menjadi kegemaran ramai itu menggabungkan beberapa bahan berasaskan makanan laut untuk menghasilkan semula rasa umami yang selalunya didapati dalam daging, memastikan produk itu boleh dinikmati semua.
Sekurang-kurangnya 85 peratus daripada jualan Otafuku Sauce Malaysia adalah daripada pasaran Malaysia, selain eksport ke Indonesia, Singapura, United Kingdom, Arab Emiriah Bersatu (UAE), Jepun dan pasaran lain.
Syarikat itu berkata, Indonesia kekal menjadi pasaran utama yang semakin berkembang, sementara ia dalam rancangan melebarkan sayapnya ke Timur Tengah dan Eropah melalui pameran perdagangan dan platform e-dagang.
Otafuku Sauce Malaysia turut berinteraksi dengan para pengguna secara langsung menerusi sesi demonstrasi, merasa makanan dan berkongsi resipi samada secara fizikal atau atas talian, mengukuhkan kedudukan makanan negara matahari terbit itu di Malaysia.
Memandang ke hadapan, syarikat itu akan terus menitikberatkan pandangan pengguna dalam penghasilan dan penambahbaikan produk, termasuk meneroka pelbagai perisa yang melengkapi budaya masakan rakyat Malaysia.
Waktu Solat


31 Dec 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:56
















