Jan 23, 2026 5PM
LZS sasar RM2.2 juta kutipan zakat PDRM Selangor bagi tahun 2026
Lembaga Zakat Selangor (LZS) sasar kutipan zakat sebanyak RM2.2 juta daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor melalui skim potongan potongan gaji sebagai kaedah pembayaran zakat bagi tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, masih terdapat lebih 10,000 anggota yang belum menunaikan zakat walaupun menetap dan bertugas di negeri itu, membuka potensi besar bagi kutipan zakat PDRM Selangor.
“Sekiranya setiap seorang menyumbang serendah RM10 sebulan, sasaran RM2.2 juta setahun
bukan sesuatu yang mustahil.
“Ini bukan sekadar soal angka, tetapi tentang kekuatan zakat sebagai sistem perlindungan sosial yang menyantuni kebajikan anggota dan golongan asnaf,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Inisiatif itu dilancarkan ketika Taklimat Khas Zakat Bersama PDRM Kontinjen Selangor – Anda Hero Asnaf yang dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Pahlawan Shazeli Datuk Kahar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini yang menghimpunkan kira-kira 400 pegawai dan anggota PDRM dari seluruh Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Mohd Khaidzir Shahari.
Pada tahun 2025, jumlah kutipan zakat anggota PDRM Selangor yang melibatkan 2,736 anggota direkodkan mencecah RM1.03 juta melalui skim potongan gaji, sekaligus membuktikan potensi skim tersebut sebagai mekanisme paling berkesan untuk memastikan pembayaran zakat dibuat secara automatik dan berterusan.
LZS turut melancarkan kempen “Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru” yang menawarkan dua kategori; Wira Prihatin dengan sumbangan RM10 sebulan dan Wira Harapan sebanyak RM50 sebulan, mengikut kemampuan masing-masing.
Melalui kempen itu, peserta layak menikmati pelbagai keistimewaan termasuk manfaat Siddik dan Khairat, cenderamata eksklusif LZS, penyertaan cabutan bertuah tahunan, keahlian Muzakki Circle serta rebat cukai 100 peratus.
Datuk Pahlawan Shazeli dalam ucapannya turut menyambut baik inisiatif itu dan berharap ia memberi manfaat berterusan kepada warga PDRM Selangor khususnya dari segi kebajikan, pendidikan dan sokongan sosial.
Pada masa sama, para tetamu turut menyaksikan penyerahan Wakalah Majikan PDRM Selangor berjumlah RM126,162.92 yang akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan dan pembangunan kerohanian anggota.
Turut hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan, Pegawai-Pegawai Kanan PDRM Kontinjen Selangor dan Ketua-Ketua Polis Daerah.
Waktu Solat


26 Jan 2026
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:50












