Nov 27, 2025 9AM
Halalan Toyyiban bukan hanya terletak pada makanan, tetapi kebersihan – Q Bistro
Halal bukan hanya terletak pada makanan yang boleh diambil pengguna Muslim tetapi turut mengambil kira kebersihan tempat pelanggan menjamu selera— itu pegangan Q Bistro sejak penubuhannya pada 2008.
Berbeza dengan pengusaha lain, Q Bistro mahu merevolusi landskap perusahaan itu dengan menawarkan perkhidmatan yang pantas, sedap dan bersih selain menekankan keperluan halal.
Pengurus Pematuhan, Audit Dalaman dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Hajris, Ubai Haji Karim berkata, nama Q Bistro berasal daripada perkataan kualiti yang mencerminkan semua aspek perusahaan mereka seperti makanan, servis dan kebersihan.
Nama itu dicipta berdasarkan pengalaman pengasas Q Bistro, Riyasutin Mohamed Dulkif yang bermula dengan perniagaan kecil-kecilan di tepi jalan bersama penjual cendol dan mi goreng mamak.

Pengurus Pematuhan, Audit Dalaman dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Hajris, Ubai Karim ketika ditemu ramah oleh Kinihalal di Q Bistro, Bukit Bintang.
“Pada waktu itu, beliau melihat pengusaha mamak ini beroperasi dengan cekap, namun dalam keadaan yang tidak berapa bagus misalnya tidak bersih dan tiada sistem teratur.
“Jadi daripada situ, timbul inspirasi dalam diri beliau untuk bawa jenama mamak ini pergi lebih jauh dengan menekankan aspek kebersihan serta kualiti makan sebagai kelebihan Q Bistro,” katanya.
Saat Riyasutin mahu menubuhkan Q Bistro pertama di bandar Seri Permaisuri, Cheras, Ubai Haji Karim berkata pengasasnya itu berdepan cabaran dan kritikan oleh rakan-rakan yang sangsi samada kedai mamak berkonsepkan ciri-ciri moden dapat melangkah jauh.
“Walaupun ketika itu sudah tahun 2008, masih tiada restoran mamak yang mempunyai sistem teratur, atau bilik berpenghawa dingin, jadi itu menjadi rintangan buat kami dalam memperkenalkan konsep baharu.

Restoran mamak tidak lengkap tanpa makanan sinonimnya, nasi kandar dengan lauk-pauk pelbagai jenis.
“Namun, alhamdulillah dari semasa ke semasa sehingga kini, penerimaan orang ramai terhadap Q Bistro memang sangat-sangat bagus,” katanya.
Kini, restoran mamak moden itu dalam proses mendapatkan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dijangka menerima pengiktirafan itu pada suku kedua tahun 2026.
Menurut Ubai Haji Karim, halal adalah aspek yang sangat penting kerana ia menjadi simbol kepercayaan dan keyakinan khususnya buat pelanggan Muslim selain memberikan pilihan yang lebih inklusif bukan sahaja untuk orang Islam tetapi termasuk bukan Islam.
“Kita melihat halal ini dari sudut kepercayaan kerana kami mahu semua pelanggan yakin bahawa produk kami adalah halalan toyyiban dan juga pilihan yang terbaik.

Q Bistro menawarkan bilik persendirian berpenghawa dingin yang boleh memuatkan 10 orang pelanggan, sesuai bagi menyambut sebarang majlis keraian atau mengadakan perbincangan santai.
“Pilihan ini pula bukan sahaja menjadi pilihan orang Islam, namun bangsa-bangsa lain kerana mereka turut menjadikan restoran-restoran halal sebagai salah satu pilihan mereka sebagai tempat makan,” katanya.
Tambah beliau, mematuhi piawaian halal bukan satu kekurangan, namun kelebihan buat Q Bistro agar mereka terus yakin dalam menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik dari segi kebersihan, kepantasan dan kualiti makanan.
Buat masa ini, Ubai Haji Karim menjelaskan mereka mempunyai Dapur Berpusat yang mengeluarkan lebih kurang 300 menu disahkan halal oleh JAKIM sejak 2019, dan ia membekalkan sebanyak 90 peratus produk Q Bistro.
Bagi pembekal lain pula, pengurus itu berkata mereka dipilih dengan sangat-sangat teliti dan mesti mempunyai pensijilan halal yang sah walaupun mereka sudah mempunyai pensijilan luar negara.

Setiap makanan disediakan dengan peralatan dan perkakas dapur yang bersih oleh pekerja yang sudah menjalani latihan penyediaan makanan selamat.
“Pemilihan ini sangat teliti kerana kami mahu pastikan keseluruhan rantaian bekalan kami adalah halal, dari ladang ke meja makan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Q Bistro proaktif dalam mengambil tenaga kerja lokal khususnya beragama Islam bagi memenuhi kriteria mendapatkan pensijilan halal serta menyokong bakat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.
Ubai Haji Karim menjelaskan, pihaknya banyak bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyediakan penempatan latihan industri bagi para pelajar daripada pelbagai bidang seperti kulinari dan perhotelan.
“Kami ada terlibat dengan program-program kerajaan, dan kadang-kadang kami turut adakan temuduga besar-besaran jadi kami memang dalam proses mendapatkan pekerja tempatan,” jelasnya.

Pekerja dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika bekerja seperti memakai penutup muka, penutup kepala, sarung tangan dan kerap membasuh tangan sebelum menyediakan makanan.
Q Bistro tidak hanya bergantung kepada tenaga kerja tempatan, jenama itu turut melibatkan pekerja asing daripada pelbagai latar belakang dan tempat seperti India, Bangladesh dan Indonesia bagi memastikan kelancaran operasi harian.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang menguruskan makanan dan minuman (F&B), Ubai Haji Karim berkata pekerja mereka menjalani latihan dalaman yang meliputi cara berbahasa Melayu dan Inggeris, menjaga kebersihan dan berkomunikasi dengan pelanggan.
Selepas tempoh tiga ke enam bulan, Q Bistro merekodkan 60 hingga 70 peratus pekerja mereka dapat bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta berkomunikasi dengan baik susulan menjalani latihan dalaman yang disediakan.
Mengakui kepentingan halal terutamanya dalam kalangan masyarakat majoriti Muslim di Malaysia, Q Bistro turut serta dalam program Halal Engage di bawah kendalian Public Islamic Bank untuk membantu mereka dalam proses menambah cawangan perniagaan Q-Bistro.

Nantikan dokumentari eksklusif Q Bistro bersama Kinihalal dalam meneroka budaya mamak yang sedap, pantas dan bersih.
Menerusi program itu, Q Bistro bukan sahaja menerima pembiayaan bagi menyokong perkembangan mereka dalam memperbanyakkan cawangan Q-Bistro, namun berpeluang mendapat liputan eksklusif bersama Kinihalal selaku rakan media rasmi Halal Engage.
Q Bistro menjadi bukti bahawa program Halal Engage yang dilancarkan oleh Public Islamic Bank membantu merancakkan lagi ekonomi halal dengan membangunkan lebih ramai pemain industri agar industri itu kekal maju, mampan dan berdaya saing.
Waktu Solat


28 Nov 2025
Waktu solat berikutnya,
Maghrib
pada
19:01
















