Jan 26, 2026 6PM
QL Innofood Park gerbang pasaran halal global bernilai RM22.88 trilion
Syarikat pengeluar makanan halal tempatan bukan sahaja menjadi tunjang kepada pasaran domestik malah berpotensi berfungsi sebagai jambatan Malaysia ke pasaran halal antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri makanan halal negara kini berupaya menembusi pasaran global yang dianggarkan bernilai RM16.02 trilion dan dijangka meningkat kepada RM22.88 trilion menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, QL Innofood Park - pembangunan hab pengeluaran makanan bersepadu yang terletak di di Hutan Melintang, Perak itu - memainkan peranan strategik dalam pembangunan industri halal negara.
“Halal bukan untuk Muslim sahaja, tetapi untuk semua, dan syarikat ini mempunyai sijil halal.
“Kehadiran mereka bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi, malah peluang pekerjaan,” katanya dipetik Bernama.

Ahmad Zahid Hamidi pulang ke Bagan Datuk menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park di QL Foods Sdn Bhd, Hutan Melintang
Menurut beliau, konsep halal bersifat inklusif dan bukan terhad kepada umat Islam semata-mata, justeru syarikat yang memiliki pensijilan halal mempunyai kelebihan daya saing.
Kehadiran QL Innofood Park bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah QL Innofood Parks di Bagan Datuk.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Eksekutif QL Resources Berhad, Dr Chia Song Kun.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara menegaskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyokong pembangunan syarikat yang terlibat dalam industri halal.
“Kerajaan mesti bersikap mesra perniagaan, kerana pembangunan syarikat akan memberi pulangan kepada negara melalui cukai korporat serta peluang pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata majlis berkenaan menandakan bermulanya pelaksanaan pelaburan industri berskala besar yang dirancang secara berfasa untuk jangka panjang.
Menurutnya, pembangunan taman industri tersebut dijangka mengambil tempoh sekitar 10 tahun dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.2 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi dan hala tuju pembangunan Daerah Bagan Datuk.
“QL Innofood Park mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negeri, perancangan jelas, dan keupayaan kerajaan negeri menyediakan persekitaran pelaburan yang diyakini.
“Yang lebih penting, projek ini membuka ruang baharu untuk memperkukuh struktur ekonomi Daerah Bagan Datuk secara tersusun dan mampan,” katanya.
Secara keseluruhan, projek itu dijangka memperkasa ekosistem industri halal tempatan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global.
Waktu Solat


26 Jan 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
06:07 (27 Jan 2026)
















