Apr 03, 2026 3PM
Sijil halal ditarik: Apa yang berlaku dan pengguna perlu tahu?
Susulan kes tular yang melibatkan penarikan semula sijil halal oleh pihak berkuasa baru-baru ini menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan masyarakat — kenapa tiba-tiba boleh jadi macam ini?
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat sijil halal syarikat yang ditarik balik apabila mereka didapati tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, seperti kes kilang kopi di Melaka yang mencuri perhatian netizen.
Berdasarkan laporan media, kilang tersebut menggunakan berus diperbuat oleh bulu babi untuk mencuci peralatan pemprosesan yang jelas melanggar syarat pensijilan halal.
Pada masa sama, pensijilan halal bagi sebuah kilang biskut di negeri sama juga ditarik semula selepas gagal mengekalkan pematuhan terhadap standard yang ditetapkan.
JAKIM berkata, kebanyakan syarikat itu sebenarnya lulus semua syarat semasa memohon pensijilan halal namun mengubah operasi atau menggunakan bahan yang tidak mematuhi garis panduan halal selepas kelulusan diberikan, sekali gus menimbulkan masalah.

Kerjasama antara pengguna dan pihak berkuasa memastikan ekosistem halal negara dipelihara. (kredit foto: Malaysiakini)
Apabila situasi tersebut berlaku, JAKIM menjelaskan pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan ekosistem halal terus dipelihara bersama-sama pihak berkuasa.
“Antara langkah yang disarankan adalah jangan terus percaya tanpa semakan dengan kekal berhati-hati akan maklumat tular, semak status semasa produk melalui sumber rasmi, utamakan produk yang jelas halal dan diyakini serta menjadi ‘mata & telinga’ pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang keraguan,” katanya.
Tegas jabatan itu, penarikan sijil halal bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi langkah penting bagi memastikan integriti sistem halal negara terus dipelihara, selain mencerminkan komitmen mereka dalam menjaga kepercayaan pengguna, khususnya umat Islam di Malaysia.
Pengguna dinasihatkan untuk terus mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi yang belum disahkan.
Waktu Solat


04 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:19
















