Apr 07, 2026 2PM
Malaysia kekal peneraju halal global, sistem pensijilan diiktiraf lebih 50 negara
Malaysia semakin memperkukuh peranannya sebagai peneraju industri halal global melalui sistem pensijilan yang diiktiraf lebih 50 negara, sekali gus mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keupayaan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada pengeluaran sijil halal semata-mata, sebaliknya meliputi keseluruhan ekosistem rantaian nilai daripada aspek pengeluaran hingga ke pengedaran serta pemasaran di peringkat antarabangsa.
“Malaysia adalah peneraju kepada pengeluaran sijil halal. Tahun ini ialah tahun ke-51 pengeluaran sijil halal, tiada negara Islam atau negara bukan Islam yang mengeluarkan sijil-sijil halal seperti ini (yang diiktiraf banyak negara), melainkan Malaysia,” katanya dipetik Bernama.
Beliau menegaskan usaha tersebut berperanan sebagai penanda aras global dalam membangunkan ekosistem halal yang komprehensif, merangkumi pengembangan industri serta pengedaran ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai langkah proaktif yang mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkasa pembangunan sektor halal.

Ahmad Zahid berkata tiada negara Islam atau negara bukan Islam yang mengeluarkan sijil-sijil halal seperti ini (yang diiktiraf banyak negara), melainkan Malaysia
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional menggesa negeri-negeri lain, khususnya di bawah pentadbiran pembangkang, agar turut membangunkan taman industri halal masing-masing.
“Negeri yang diperintah oleh parti yang berlandaskan pada Islam pun tidak ada industri halal, saya harap mereka tidak bercakap sahaja tetapi laksanakan.
“Kalau benar-benar mereka memperjuangkan Islam, kita mahu lihat industri halal park mesti diwujudkan oleh negeri-negeri berkenaan.
“Negeri seperti Pulau Pinang pun telah mewujudkan industri halal dengan lebih awal daripada negeri lain, maka kita cabar negeri-negeri berkenaan (pembangkang) untuk membuat industri halal ini lebih besar daripada Pulau Pinang kalau boleh,” katanya.
Berhubung Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelaksanaan fasa kedua sebagai satu kejayaan signifikan, selain memaklumkan bahawa projek itu akan diperluas ke fasa ketiga, termasuk pembinaan jambatan bagi meningkatkan kesalinghubungan kawasan industri.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkukuh jaringan usahawan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rangkaian pasar raya tempatan dan antarabangsa serta platform pemasaran global.
“Setiap produk yang keluar dari Industri PERDA Halal Park akan dibantu dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui platform perdagangan digital dan pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS),” katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dan sistem blockchain bagi mempertingkatkan kualiti serta ketelusan rantaian bekalan halal.
Dengan peruntukan sebanyak RM33 juta, Fasa Dua Industri PERDA Halal Park dirangka sebagai sebuah ekosistem perniagaan yang lengkap.
Projek itu merangkumi pembinaan 22 unit industri teres satu tingkat yang akan menjadi pusat pengeluaran produk halal usahawan, berserta fasiliti sokongan menyeluruh termasuk pejabat pentadbiran, surau, dewan serbaguna, tandas serta kompleks makanan dengan lima unit gerai.
Waktu Solat


08 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:52
















