Jul 15, 2025 2PM
Malaysia ungguli carta ekonomi Islam global kali ke-11 berturut-turut
Laporan State of the Global Economy (SGIE) menunjukkan Malaysia menduduki tangga tertinggi buat kali ke-11 menewaskan 14 negara yang lain dalam menerajui ekonomi Islam sedunia bagi tahun 2024/2025.
Laporan itu menyebut, Malaysia mengungguli carta dalam sektor makanan halal, kewangan Islam dan pelancongan mesra Muslim namun jatuh ke tangga kedua selepas Indonesia dalam aspek fesyen Muslim.
DinarStandard melaporkan, lima negara di tangga teratas iaitu Malaysia, Arab Saudi, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain kekal seperti tahun lalu manakala Bangladesh dan Pakistan memasuki carta 15 teratas.
Untuk rekod, pencapaian Bangladesh itu juga menandakan kali pertama negara itu kembali ke tangga 15 teratas sejak tahun 2019/2020.
Sebaliknya, Singapura dan Iran dikeluarkan daripada tangga 10 tertinggi namun kekal dalam carta 15 ke atas.
Malaysia mengatasi 14 negara dalam pelbagai sektor, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi Islam membuahkan hasil (kredit photo: State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/2025 report)
“Pencapaian itu adalah hasil pembangunan ekonomi Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di dalam negara dan di peringkat global melalui kolaborasi dan pengiktirafan badan pensijilan halal lain.
“Pada tahun lalu, JAKIM mengiktiraf lima badan pensijilan halal asing tambahan dari Amerika Selatan dan Asia,” lapor DinarStandard.
SGIE 2024/2025 adalah sebuah laporan yang menerbitkan kedudukan Global Islamic Economy Indicator (GIEI) iaitu penanda aras bagi keupayaan ekosistem negara terkemuka dalam menyokong aktiviti perniagaan dan ekonomi Islam mengikut saiz mereka.
Pada masa sama, Bank Negara menerbitkan draf panduan pendedahan bagi perbankan Islam merangkumi memberi keizinan, kuasa keizinan, dan keperluan operasi untuk membantu bank konvensional dengan tawaran perbankan syariah mereka.
Kemajuan digital membolehkan Malaysia meneroka dunia tanpa sempadan bagi memperluas inisiatif perkembangan ekonomi Islam negara (kredit foto: Malaysiakini)
Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyokong ahli persatuan dalam mendapatkan Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan Mesra Muslim dan Hospitaliti oleh ITC.
Berdasarkan laporan SGIE 2024/2025 itu juga, Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi dalam kalangan negara anggota OIC dalam aspek sub-penunjuk Inovasi.
“Kemajuan digital dan teknologi adalah keutamaan bagi Malaysia, misalnya AEON Bank yang dilancarkan tahun lalu adalah Bank Islamik digital pertama di Malaysia.
“Malaysia adalah antara pasaran e-dagang yang paling pesat berkembang dengan kadar pertumbuhan tahun demi tahun sebanyak 18 peratus,” lapornya.
Islam adalah agama paling pesat berkembang di dunia, menurut Pew Research Centre (kredit foto: Malaysiakini)
Sehubungan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Makmal Inovasi Pelancongan Digital bagi memajukan transformasi digital dalam sektor pelancongan Malaysia.
“Aktiviti pelaburan adalah stabil dengan 23 transaksi direkodkan untuk Malaysia. China akan membuat pelaburan sebanyak RM4 bilion dalam industri halal,”
Laporan SGIE tahun ini menganggarkan 2 bilion Muslim sedunia berbelanja lebih kurang US$2.43 trilion (RM10.33 trilion) merentas pelbagai sektor teras termasuk makanan halal, farmaseutikal, kosmetik, fesyen Muslim, pelancongan serta media dan rekreasi.
Semua sektor ini dibentuk berdasarkan pertimbangan etika Islam dan pematuhan Syariah.
Waktu Solat


16 Jul 2025
Waktu solat berikutnya,
Dhuhr
pada
13:22

