Sep 01, 2025 12PM
McDonald’s Malaysia umum zakat RM2 juta bagi tahun 2025
McDonald’s Malaysia menyerlahkan peranannya sebagai syarikat 100 peratus milik
orang Islam dengan mengumumkan pengeluaran zakat korporat sebanyak RM2 juta tahun ini untuk semua negeri dan majlis agama Islam negeri masing-masing.
Buat julung kalinya, McDonald’s Malaysia menjelajah ke semua 14 negeri di Malaysia bagi menyerahkan zakat kepada pusat-pusat zakat negeri masing-masing dengan majlis berlangsung di restoran-restoran McDonald’s terpilih.
Pada satu majlis penyerahan di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 baru-baru ini, McDonald’s Malaysia menyumbangkan zakat sebanyak RM300,000 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya bersyukur dapat melunaskan pembayaran zakat yang menjadi sebahagian Rukun Islam sekali gus memenuhi tanggungjawab sosial, agama dan syarikat.
“Bermula tahun 2017, selepas McDonald’s Malaysia dimiliki sepenuhnya oleh umat Islam, syarikat telah menunaikan zakat sebanyak RM14 juta.
McDonald’s Malaysia menyerahkan mock cheque bernilai RM300,000 sebagai simbolik penyerahan zakat kepada PPZ-MAIWP
“Istimewanya tahun ini, syarikat kami bukan sahaja membayar zakat sebagai tuntutan fardu, tetapi juga berkongsi kesyukuran bersama masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Di samping itu, McDonald’s Malaysia juga mengambil inisiatif turun padang bagi menghargai pelanggan yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.
Penyerahan itu disempurnakan oleh Azmir kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, sambil disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Azmir berkata, atas dasar itu, McDonald’s Malaysia berusaha menjadi jiran prihatin dengan menganjurkan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun melalui program Komuniti @ McDonald’s, yang melibatkan lebih 370 restoran di seluruh negara.
Selain berzakat, McDonald’s Malaysia juga menyumbangkan Kotak Rezeki kepada 100 keluarga asnaf
“Sebagai syarikat yang prihatin, McDonald’s Malaysia juga menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017.
“Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi.
“Kami sentiasa mencari peluang untuk mendekati dan menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, syarikat itu menjadi entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.
Sijil itu mengiktiraf perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat tersebut melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedia dimiliki McDonald’s Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia kerana konsisten melaksanakan tanggungjawab korporat dengan menunaikan zakat perniagaan.
“Selain menjadi kewajipan bagi yang berkemampuan, sumbangan zakat ini juga membantu kami untuk mendekati lebih ramai asnaf yang memerlukan.
“Kami berharap kerjasama dengan McDonald’s Malaysia dapat diteruskan bagi memberi manfaat berpanjangan kepada golongan asnaf,” katanya.
Antara 100 keluarga asnaf yang menerima sumbangan daripada Kotak Rezeki McDonald’s Malaysia
McDonald’s Malaysia tidak lupa menyantuni keluarga asnaf dengan menyerahkan 100 Kotak Rezeki berisi barangan keperluan, sambil mengadakan program ziarah rumah ke rumah bersama PPZ-MAIWP di Putrajaya selepas majlis menutup tirai.
Sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan, syarikat itu turut berkongsi 1,000 hidangan percuma di setiap lokasi termasuk pada majlis yang berlangsung di Putrajaya.
Sebelum ini, jelajah penyerahan zakat McDonald’s Malaysia berlangsung di Perak, Terengganu dan Selangor.
Sepanjang 43 tahun McDonald’s di Malaysia, McDonald’s memberi perkhidmatan
kepada lebih 9 juta pelanggan sebulan di lebih 370 restoran di seluruh negara.
Pada masa sama, Azmir menjelaskan usaha pengembangan perniagaan McDonald’s Malaysia turut menghasilkan peluang ekonomi baharu buat masyarakat setempat.
“Perancangan jangka panjang kami adalah membuka lebih banyak restoran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dan harapan kami agar setiap restoran yang dibuka dapat menaja peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak tempatan,” jelas beliau.
Waktu Solat


04 Sep 2025
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:49

